SUNGAI PETANI: Dua remaja lelaki berusia 15 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini terhadap pertuduhan memiliki dan menyimpan motosikal curi, minggu lalu.
Kedua-dua mereka membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman.
Mengikut pertuduhan, mereka didapati memiliki dan menyimpan harta curi iaitu dua motosikal jenis Honda C100 milik dua individu berbeza di kawasan Surau Taman Mutiara di sini, pada pukul 11 malam, 14 dan 15 Julai lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan tidak lebih lima tahun dan denda.
Sementara itu, salah seorang mereka turut mengaku bersalah terhadap satu lagi pertuduhan dengan sengaja melupuskan harta curi iaitu sebuah motosikal jenis sama di lokasi sama parkir surau Taman Mutiara di sini, pada pukul 11 malam, 15 Julai lalu.
Bagi pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman minimum enam bulan dan maksimum tujuh tahun penjara dan denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM) Inspektor Farah Amira Mohd Hassim, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Majistret kemudian membenarkan jaminan masing-masing RM200 dan RM400 dengan seorang penjamin serta menetapkan 8 September depan untuk penyediaan laporan akhlak, sebelum menetapkan hukuman. – UTUSAN




