Glasgow: Juara bertahan heptatlon, Katarina Johnson-Thompson menarik diri daripada Sukan Komanwel Glasgow 2026 ketika masih dalam proses pemulihan kecederaan dan mahu memberi tumpuan kepada Kejohanan Olahraga Eropah bulan depan.
Atlet England berusia 33 tahun itu sebelum ini mempertahankan gelaran yang dimenanginya di Birmingham 2022 selepas turut muncul juara pada edisi Gold Coast 2018.
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Paris 2024 itu mengakui kecewa kerana tidak dapat beraksi di hadapan penyokong sendiri.
“Saya amat kecewa kerana terpaksa menarik diri daripada Sukan Komanwel tahun ini.
“Saya benar-benar menantikan peluang beraksi di laman sendiri dan mempertahankan gelaran Sukan Komanwel saya.
“Walaupun kecederaan yang saya alami awal musim ini semakin pulih, saya masih belum kembali ke tahap yang diperlukan untuk bersaing pada prestasi terbaik.
“Selepas berbincang dengan pasukan saya, kami membuat keputusan yang sukar untuk memberi tumpuan bagi memastikan saya bersedia menghadapi Kejohanan Eropah.
“Terlepas beraksi di kejohanan besar bukan sesuatu yang mudah, tetapi saya tahu ini keputusan yang tepat. Saya tidak sabar untuk kembali bertanding,” katanya menerusi Instagram.
Team England dalam satu kenyataan memaklumkan Johnson-Thompson adalah antara sembilan atlet olahraga yang menarik diri daripada kontinjen mereka menjelang temasya di Glasgow.
Turut tidak beraksi ialah beberapa pemenang pingat Olimpik termasuk Dina Asher-Smith, Daryll Neita, Matthew Hudson-Smith dan Amber Anning.
Sukan Komanwel Glasgow 2026 berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos, manakala Kejohanan Olahraga Eropah dijadual berlangsung di Birmingham dari 10 hingga 16 Ogos.
© New Straits Times Press (M) Bhd




