Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menolak dakwaan bahawa beliau atau DAP mempunyai hasrat untuk mengambil alih jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan sekiranya Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menurut laporan Utusan, Ahli Parlimen Seremban itu menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mengaitkan namanya sebagai calon Menteri Besar sebagai dakwaan berniat jahat yang bertujuan memburukkan PH.
Anthony berkata, PH hanya mempunyai satu calon Menteri Besar bagi Negeri Sembilan iaitu penyandang Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang kini bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi.
“Calon Menteri Besar untuk Negeri Sembilan amat jelas dalam Undang-Undang Tubuh Negeri, iaitu seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melayu yang beragama Islam.
“Saya tidak memenuhi syarat kelayakan tersebut. Itu hanyalah cakap-cakap jahat daripada pihak yang melawan kita,” katanya.
Foto arkib: Free Malaysia Today
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Lawatan Kerja Projek Siap bagi Projek Kerja-Kerja Pemulihan, Naik Taraf Landasan Kereta Api dan Kerja-Kerja Berkaitan antara Gemas, Negeri Sembilan hingga Stesen Kereta Api Mentakab, Pahang, hari ini.
Sebelum ini, Asyraf Wajdi mempersoalkan calon yang akan diketengahkan PH sebagai Menteri Besar sekiranya Aminuddin gagal mempertahankan kerusi DUN Linggi pada PRN kali ini.
Beliau turut membangkitkan persoalan sama ada rakyat Negeri Sembilan bersedia menerima DAP atau Anthony Loke sebagai Menteri Besar negeri itu.
Sumber: Utusan (Fatin Norizati Mat Isa)




