Doktor redah banjir paras pinggang demi pembedahan dua pesakit

Doktor redah banjir paras pinggang demi pembedahan dua pesakit

Shenyang, China: Seorang lelaki di timur laut China mencuri perhatian di media sosial selepas rakaman dirinya menolak basikal meredah air banjir sehingga paras pinggang dalam perjalanan ke tempat kerja ketika hujan lebat tular, lapor South China Morning Post.

Video berkenaan menyentuh hati ramai selepas pengguna internet mengetahui lelaki itu ialah seorang doktor yang perlu memenuhi jadual pembedahan membabitkan dua pesakit pada hari berkenaan.

Kejadian berlaku pada 13 Julai lalu apabila bandar Shenyang di wilayah Liaoning dilanda hujan lebat luar biasa dengan jumlah taburan hujan mencecah 230 milimeter (9.06 inci).

Pihak berkuasa tempatan memaklumkan jumlah itu adalah taburan hujan paling lebat direkodkan sejak 1951, sekali gus menyebabkan banyak jalan dinaiki air dan sebahagian besar perkhidmatan pengangkutan awam terganggu.

Pihak berkuasa turut menggesa penduduk menangguhkan urusan kerja dan persekolahan, namun undang-undang China menetapkan petugas dalam sektor perkhidmatan penting termasuk kakitangan perubatan perlu terus menjalankan tanggungjawab mereka.

Lelaki dalam video tular itu dikenali sebagai Chu Zhenhao, seorang doktor pakar obstetrik di Hospital Shengjing iaitu sebuah institusi perubatan terkemuka di timur laut China.

Menerusi rakaman yang dirakam seorang pejalan kaki, Chu dilihat meredah air banjir setinggi paras pinggang sambil menolak basikalnya bagi memastikan dia tiba di hospital untuk menjalankan tugas.

Chu memberitahu media bahawa dia sebelum itu sudah bersetuju untuk menjalankan dua pembedahan rumit terhadap dua wanita hamil menyebabkannya perlu berusaha sedaya upaya untuk tiba di hospital.

“Sebagai seorang doktor, saya mesti meletakkan keselamatan pesakit sebagai keutamaan utama kerana jika kami mengambil cuti, pesakit mungkin berdepan situasi berisiko,” katanya.

Beliau yang kebiasaannya berulang-alik ke tempat kerja dengan basikal berkata, dia tidak menyangka paras air banjir begitu tinggi dan memaklumkan semua rakan sekerja turut hadir bertugas pada hari hujan lebat itu.

Chu turut menegaskan bahawa penghargaan daripada orang ramai seharusnya diberikan kepada semua individu daripada pelbagai sektor yang terus menjalankan tanggungjawab masing-masing ketika berdepan situasi sukar.

Kisah pengorbanan petugas yang kekal menjalankan tugas ketika bencana melanda turut mendapat perhatian ramai di media sosial susulan beberapa kejadian serupa termasuk rakaman seorang anggota bomba menikmati makan tengah hari ketika hujan lebat di wilayah Guangxi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top