JELEBU: Datuk Seri Jalaluddin Alias merupakan calon nombor satu Menteri Besar Negeri Sembilan sekiranya Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun berkata, pelantikan Menteri Besar tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Beliau berkata, BN juga tidak perlu mengumumkan ‘poster boy’ atau calon Menteri Besar kerana parti itu mempunyai ramai pemimpin yang layak menggalas jawatan berkenaan.
Katanya, Jalaluddin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan merupakan pilihan utama namun keputusan muktamad tetap tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Insya-Allah, kalau dahulu menteri-menteri besar kita berprestasi tinggi. Saya yakin walaupun tidak disebutkan siapa ‘poster boy’ kita atau siapa calon menteri besar kita, itu tidak perlu kerana kita mempunyai terlalu ramai calon menteri besar yang layak.
“Salah seorangnya ada di sini. Kita bukan ada seorang sahaja, Jalal. Datuk Asyraf (Wajdi Dusuki) kata ada 10 calon Menteri Besar Negeri Sembilan dan kesemua 10 itu mempunyai kualiti yang baik, betul?
“Tetapi Jalal nombor satu, tertakluk kepada perkenan,” katanya ketika berucap pada program di Pusat Daerah Mengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, beliau juga yakin bahawa pengundi di Negeri Sembilan mahukan perubahan pada PRN kali ini.
“Saya tidak mahu mendahului hukum Allah, tidak. Tetapi saya juga bukan nujum Pak Belalang dalam bidang politik.
“Namun saya yakin perasaan pengundi di Negeri Sembilan, mereka mahukan perubahan dan perubahan itu mesti menjurus ke arah ‘membirukan’ Negeri Sembilan dengan kemenangan calon-calon BN,” katanya. – UTUSAN




