SEREMBAN – Barisan Nasional (BN) menegaskan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang dilancarkan merupakan kesinambungan kepada pelan pembangunan negeri yang telah dirancang sebelum ini.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bagaimanapun pelaksanaan pelan tersebut tidak dapat diteruskan selepas BN kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.
“Manifesto ini tidak bermula dari kosong, sebaliknya dibina atas pengalaman, rekod pencapaian dan asas yang telah diletakkan oleh pemimpin-pemimpin BN terdahulu.
“Banyak daripadanya telah dirancang ketika BN mentadbir Negeri Sembilan, namun pada tahun 2018, BN kalah di negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Melancarkan Manifesto BN dalam Pilihan Raya Negeri(PRN) Negeri Sembilan di sini pada Jumaat.
Menurutnya, BN menerima keputusan kekalahan itu dengan hati terbuka, namun banyak dasar, program dan rancangan pembangunan yang dirancang oleh parti itu tergendala.
Malah, katanya, momentum pembangunan yang dibina sekian lama tidak diteruskan dengan rentak yang sama.
“Sebab itu manifesto ini membawa satu tekad. Kita mahu menghidupkan semula semangat Negeri Sembilan sebagai negeri pelaburan.
“Kita mahu mengangkat semula gagasan Negeri Sembilan sebagai Lembah Ilmu, menyambung pembangunan FELDA serta membela semula golongan petani, nelayan dan penternak.
“Kita juga mahu mempercepatkan pembinaan rumah rakyat, memulihkan perkhidmatan kerajaan supaya lebih pantas serta menyambung semula dasar-dasar BN yang terhenti selepas 2018,” katanya.
Beliau menegaskan, BN bukannya mahu merobohkan apa yang telah dibangunkan, sebaliknya membaiki dan meneruskan perancangan yang telah dirangka sebelum ini.
“Kita bukan datang hendak meroboh. Kita datang hendak membaiki.
“Kita bukan datang hendak bereksperimen. Kita datang dengan pengalaman untuk bekerja,” katanya.
Hadir sama dalam majlis berkenaan, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, kepimpinan tertinggi parti komponen BN dan Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.



