PRN N9: Kandungan manifesto BN hampir sama dengan PN – Tuan Ibrahim

PRN N9: Kandungan manifesto BN hampir sama dengan PN – Tuan Ibrahim

am@hmetro.com.my

Seremban: Kandungan manifesto Perikatan Nasional (PN) yang akan dilancarkan malam esok hampir menyerupai manifesto Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PN juga berhasrat mahu melihat pembangunan Negeri Sembilan.

“Kerjasama (dengan BN) kali ini diharap membuahkan hasil yang baik. Berdasarkan manifesto ini, saya lihat tidak banyak (perbezaan). PN pun akan bentang manifesto sama malam esok.

“Saya lihat kandungan (manifesto) hampir sama dengan hasrat bersama kami untuk melihat Negeri Sembilan ke hadapan dan mudah-mudahan kita berjaya,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Pelancaran Manifesto BN di Sendayan di sini, malam ini.

Manifesto BN dilancarkan oleh Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Turut hadir, Pengarah Pilihan Raya BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Tuan Ibrahim berkata, apa yang digariskan dalam manifesto mampu diterjemah dengan sebaik mungkin jika rakyat memberi mandat penuh pada 1 Ogos ini.

Katanya, beberapa tawaran menarik dalam manifesto BN wajar diberi perhatian oleh rakyat Negeri Sembilan.

“Ini terutama tawaran kebajikan Negeri Sembilan sebagai ‘Vision Valley’ untuk isu alam sekitar, peluang pekerjaan dan perumahan yang dilihat sebagai isu utama jadi keperluan rakyat terutama golongan muda,” katanya.

Pada PRN Negeri Sembilan kali ini, BN dan PN membentuk persefahaman dengan BN bertanding di 25 kerusi, manakala PN di 11 kerusi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top