PRN N9: Manifesto BN Negeri Sembilan bukan 'rancangan tertangguh tapi tergendala' – Tok Mat

PRN N9: Manifesto BN Negeri Sembilan bukan 'rancangan tertangguh tapi tergendala' – Tok Mat

am@hmetro.com.my

Seremban: Tawaran Barisan Nasional (BN) dalam manifesto bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bukan ‘rancangan tertangguh’.

Sebaliknya, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia adalah agenda pembangunan negeri itu yang tergendala susulan kekalahan parti berkenaan pada 2018.

Beliau berkata, penggunaan istilah yang tepat penting kerana perancangan terbabit tergendala akibat pertukaran kerajaan, bukannya ditangguhkan atas kehendak parti.

“Kalau tangguh, kita yang tangguhkan. Tapi kita kalah. ‘Tergendala’ yang patut kita sebutkan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran manifesto BN, di sini, malam ini.

Mohamad berkata, beberapa projek berimpak tinggi yang dirancang sewaktu pentadbiran BN terdahulu tidak dikendalikan dengan sewajarnya, malah ada yang terkeluar daripada garis panduan asal.

Mohamad yang Pengerusi BN Negeri Sembilan, menepis dakwaan manifesto BN menerima input daripada Perikatan Nasional (PN), susulan kenyataan Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa, mengenai cadangan penggabungan manifesto kedua-dua gabungan berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Luar menegaskan, perancangan ditawarkan BN adalah kesinambungan usaha dan kerja keras parti itu mata tanpa membabitkan pihak luar.

“Ini kita punya kesinambungan kerja kita. Masa itu PN tak ada,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya, Mohamad, berkata manifesto berkenaan membawa satu tekad, iaitu mahu menghidupkan semula semangat Negeri Sembilan sebagai negeri pelaburan.

Beliau berkata, BN mahu mengangkat semula gagasan Negeri Sembilan sebagai lembah ilmu; menyambung pembangunan FELDA; membela semula petani, nelayan dan penternak serta mempercepat pembinaan rumah rakyat.

Selain itu, memulihkan perkhidmatan kerajaan supaya lebih pantas dan menyambung semula dasar BN yang terhenti selepas 2018.

“Kita bukan datang nak meroboh. Kita datang nak membaiki. Kita bukan datang nak bereksperimen. Kita datang dengan pengalaman untuk bekerja,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top