PERMATANG PAUH – Sebarang kenyataan yang menghina atau mengetepikan peranan mana-mana kaum di negara ini tidak wajar dikeluarkan oleh mana-mana pemimpin sebaliknya semua rakyat tanpa mengira latar belakang perlu dirangkul sebagai kekuatan Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak bersetuju sama sekali dengan sebarang tanggapan yang boleh dianggap menghina kehadiran kaum lain lebih-lebih lagi selepas negara mencapai kemerdekaan lebih 50 tahun lalu.
“Saya tidak setuju sama sekali mana-mana tanggapan yang menghina atau mengenepikan peranan mana-mana kaum di negara kita,” katanya ketika ditemui di Majlis Perasmian Pembukaan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Tahir Jalaluddin dan Pelancaran Program Nuqaba di sini pada Sabtu.
Terdahulu, Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa, kuasa politik dan penguasaan ekonomi orang Melayu semakin terhakis dan berdepan risiko hilang sepenuhnya dalam tempoh 10 tahun jika tiada perubahan drastik dilakukan.
Beliau turut menyamakan kepimpinan Melayu dalam kerajaan seperti watak pengkhianat bangsa ‘Buang’ dalam filem klasik Sarjan Hassan.
Dakwa Menteri Besar Kedah itu lagi, situasi berkenaan berlaku berikutan wujudnya golongan pemimpin Melayu yang sanggup mengadaikan prinsip dan mempertahankan parti lawan demi kepentingan kuasa peribadi.
Muhammad Sanusi menegaskan bahawa Malaysia merupakan satu-satunya Tanah Melayu yang menjadi tempat perlindungan bagi masyarakat pribumi, berbeza dengan kaum lain yang mempunyai negara asal masing-masing.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Malaysia dibina atas semangat perpaduan dengan rakyat pelbagai kaum yang menerima Perlembagaan Persekutuan serta menjadi warganegara yang taat kepada negara.
“Kita negara sudah merdeka lebih 50 tahun. Saya fikir tidak harus ada mana-mana pemimpin yang bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan begitu kerana ia menghina kehadiran kaum lain,” ujarnya.
Beliau berkata, walaupun orang Melayu merupakan kaum majoriti di negara ini, terdapat juga rakyat daripada keturunan Cina, India dan pelbagai latar belakang lain yang telah menerima Perlembagaan serta menyumbang kepada pembangunan negara.
“Apa lagi dalam kalangan masyarakat Cina, India yang taat, terima Perlembagaan, menjadi warganegara yang baik, harus kita rangkul sebagai kekuatan Malaysia,” katanya.



