Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memaklumkan masih belum membuat keputusan sama ada akan melancarkan serangan besar-besaran terhadap Iran, ketika konflik yang berlarutan selama hampir lima bulan itu semakin melebar ke rantau Asia Barat.
Pada masa sama, Arab Saudi dilaporkan melancarkan serangan ke atas kumpulan pemberontak Houthi yang disokong Iran di Yaman, susulan ancaman terhadap laluan perkapalan di Laut Merah.
Trump berkata, buat masa ini sebarang operasi ketenteraan berskala besar ditangguhkan kerana mendakwa Tehran kini menunjukkan kesungguhan untuk meneruskan rundingan dengan Washington.
“Belum lagi. Kami sedang berbincang dengan mereka sekarang.
“Saya fikir mereka semakin serius dari hari ke hari, mungkin atas sebab yang semua orang sudah tahu,” katanya kepada pemberita di Pejabat Oval, semalam.
Trump berkata, Iran hanya mempunyai dua pilihan iaitu mencapai persetujuan atau berdepan serangan pada tahap jauh lebih besar, selepas hampir dua minggu serangan AS menyebabkan gencatan senjata yang pernah dipersetujui gagal dipertahankan.
Konflik yang sebelum ini diramalkan Trump akan berakhir dalam tempoh empat hingga lima minggu kini menghampiri bulan kelima, sekali gus memberi tekanan terhadap kadar sokongannya menjelang pilihan raya pertengahan penggal AS pada November depan.
Trump turut mengakui belum menetapkan titik penentu untuk meluluskan serangan lebih besar, namun menegaskan ‘garisan merah’ pentadbirannya ialah jika Iran didapati hampir memiliki senjata nuklear.
Washington menyatakan serangan ketenteraan itu bertujuan menghalang Iran daripada menutup Selat Hormuz, laluan perkapalan strategik yang penting kepada perdagangan minyak dunia.
Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan ke atas beberapa pangkalan tentera AS yang mengorbankan empat anggota perkhidmatan negara itu.
Tentera Iran pula mendakwa mereka melancarkan serangan terhadap aset ketenteraan AS di Bahrain, Jordan dan Kuwait sebagai tindak balas kepada serangan terbaharu Washington.
Sementara itu, media kerajaan Iran melaporkan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran mendakwa mereka turut menyasarkan sebuah pusat data milik Amazon di Bahrain.
Namun begitu, syarikat teknologi itu dan kerajaan Bahrain masih belum mengulas dakwaan berkenaan, manakala AS juga belum mengesahkan sebarang serangan terhadap kemudahan atau anggota tenteranya.
Di Bahrain, siren amaran kembali dibunyikan awal pagi tadi dengan Kementerian Dalam Negeri negara itu menggesa orang ramai bertenang dan segera menuju ke lokasi perlindungan yang selamat.
Trump pada masa sama menegaskan China dan Russia tidak membekalkan senjata kepada Iran walaupun terdapat laporan mendakwa kedua-dua negara itu menyalurkan maklumat risikan kepada Tehran bagi membantu menyasarkan kepentingan AS.
“Presiden Xi Jinping berkata beliau tidak akan terbabit dan Presiden Vladimir Putin juga menyatakan perkara sama.
“Saya percaya kepada mereka. Saya tidak fikir mereka mahu mengecewakan saya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




