Narathiwat: Wilayah Tentera Ke-4 Thailand bakal membina pagar kawat berduri sepanjang 99 kilometer di kawasan sempadan Thailand-Malaysia yang dikenal pasti mudah dicerobohi, lapor Thai PBS World.
Panglima Wilayah Selatan, Leftenan Jeneral Narathip Poynok berkata, pembinaan itu merangkumi kawasan dari daerah Tak Bai melalui Sungai Golok hingga ke daerah Waeng di Narathiwat.
Langkah berkenaan bertujuan menghalang pergerakan suspek pemberontak dan penyeludup yang menggunakan laluan sempadan antara kedua-dua negara.
Ketika ini, hanya sebahagian kecil kawasan sempadan di Narathiwat dilengkapi pagar, sistem pencahayaan dan kamera litar tertutup (CCTV).
Sungai Golok yang menjadi sempadan semula jadi antara daerah Sungai Golok dan negeri Kelantan, Malaysia dikesan mempunyai beberapa bahagian yang sempit dan cetek.
Keadaan fizikal sungai itu memudahkan individu menyeberang ke kedua-dua negara terutama ketika musim kemarau.
Projek pembinaan pagar sempadan itu diaktifkan semula susulan serangan maut membabitkan kumpulan pemberontak di daerah Ra-ngae pada Rabu lalu, yang mengorbankan lima anggota renjer separa tentera.
Bagaimanapun, setakat laporan ini dikeluarkan, tiada perincian diberikan berhubung sumber pembiayaan atau tarikh projek pembinaan pagar itu akan dimulakan.
Kumpulan pemberontak sering melarikan diri dan mencari perlindungan di Kelantan apabila operasi membanteras mereka dijalankan oleh pasukan keselamatan Thailand.
Malah, sebahagian besar anggota kumpulan pemberontak terbabit dipercayai mempunyai dua kerakyatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




