am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menjalani prosedur koronari, kini berada dalam keadaan baik dan akan meneruskan proses pemulihan di bawah pengawasan rapi doktor.
Peguambela dan peguamcara Najib, Tetuan Shafee & Co dalam kenyataannya memaklumkan, berikutan siri penilaian perubatan dijalankan sejak beberapa minggu lalu, doktor mengesan penyumbatan pada salur darah koronari beliau yang memerlukan penilaian lanjut melalui angiogram koronari.
Berdasarkan penemuan, jelasnya pasukan perubatan menasihatkan terdapat kebarangkalian dianggarkan sebanyak 95 peratus Najib akan memerlukan intervensi lanjut dalam bentuk angioplasti belon atau pemasangan stent.
“Selepas angiogram koronari dan penilaian menyeluruh selesai dijalankan hari ini, pakar yang merawat mendapati bahawa baik angioplasti belon mahupun pemasangan stent tidak diperlukan.
“Sebaliknya, penyumbatan itu boleh dikawal secara berkesan melalui ubat-ubatan, pemantauan perubatan berterusan dan rawatan susulan,” katanya.
Katanya, keputusan untuk meneruskan prosedur hari ini dibuat sepenuhnya berasaskan keperluan perubatan dan penemuan klinikal yang ada pada ketika itu.
“Memandangkan kebarangkalian yang tinggi bahawa intervensi lanjut akan diperlukan, kebimbangan terhadap prosedur itu adalah nyata dan berasas.
“Mujurlah, angiogram koronari tersebut menunjukkan bahawa penyumbatan itu boleh dikawal tanpa memerlukan angioplasti belon atau pemasangan stent,” katanya.
Justeru itu katanya, pihak keluarga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pakar kardiologi dan kardiotorasik, jururawat serta seluruh pasukan perubatan di Pusat Kardiotorasik dan Kardiologi, Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, atas profesionalisme, kepakaran dan penjagaan berdedikasi yang cemerlang sepanjang proses ini.
“Pihak keluarga juga merakamkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada seluruh rakyat Malaysia atas doa, sokongan dan ucapan baik yang berterusan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




