RAUB – Pahang menyasarkan kedudukan sebagai hab agro utama negara menerusi pembangunan pertanian pintar bagi memperkukuh keterjaminan makanan serta mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri meletakkan sektor itu sebagai antara pemacu utama pembangunan menerusi Aspirasi Pahang 1st dan Pelan Induk Ekonomi Negeri Pahang 2025-2030 (PET30).
Menurutnya, perubahan iklim, gangguan rantaian bekalan global dan ketidaktentuan geopolitik dunia menuntut setiap negeri memperkukuh keupayaan menghasilkan bekalan makanan sendiri bagi menjamin kelangsungan bekalan kepada rakyat.
“Negeri yang kuat bukan hanya diukur melalui pembangunan fizikal atau pelaburan, tetapi keupayaannya menjamin bekalan makanan kepada rakyat.
“Keterjaminan makanan kini menjadi antara agenda paling penting negara dan Pahang bersedia memainkan peranan lebih besar sebagai peneraju sektor agro negara,” katanya ketika berucap merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan (MAHA) Pahang 2026 di Dataran Raub pada Sabtu.

Wan Rosdy. Foto: HALIM WAHID
Bagi merealisasikan hasrat tersebut, beliau menjelaskan, kerajaan negeri mempergiat penggunaan teknologi moden termasuk dron, automasi, Internet Pelbagai Benda (IoT), kecerdasan buatan (AI) dan mekanisasi sebagai usaha meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga buruh.
Menurutnya, pendekatan itu bukan sahaja meningkatkan hasil pengeluaran makanan, malah membuka ruang kepada penghasilan produk bernilai tinggi yang mampu menembusi pasaran antarabangsa.
Beliau berkata, Pahang mempunyai asas kukuh untuk muncul sebagai peneraju sektor pertanian negara apabila menjadi penyumbang kedua terbesar sektor itu pada 2024 dengan nilai pengeluaran melebihi RM25 bilion, manakala sektor pertanian menyumbang RM15.9 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri.
“Kekuatan ini turut disokong pengeluaran sayur-sayuran Cameron Highlands, industri kelapa sawit, durian Musang King Raub serta pembangunan industri penternakan dan akuakultur.
“Hari ini pertanian bukan lagi soal cangkul dan parang. Pertanian adalah data, teknologi, inovasi dan keusahawanan.
“Kita mahu anak muda menjadi pencipta teknologi agro, pengeksport makanan dan usahawan bertaraf global, bukan sekadar pencari pekerjaan tetapi pencipta peluang pekerjaan,” ujarnya.

Wan Rosdy melawat pameran di laman padi sempena MAHA Pahang 2026 pada Sabtu. Foto: HALIM WAHID
Sementara itu, Wan Rosdy menegaskan, MAHA Pahang bukan sekadar sebuah ekspo, sebaliknya menjadi jambatan yang menghubungkan ilmu dengan pengalaman, petani dengan teknologi serta usahawan dengan pelabur.
Beliau berkata, pameran yang memasuki tahun kedua itu akan diteruskan dari satu daerah ke satu daerah bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai lebih ramai rakyat.
“Kalau sesuatu itu membawa manfaat kepada rakyat, mengapa kita mahu berhenti?
“Insya-ALLAH pada tahun depan, MAHA akan dianjurkan di Lipis pula supaya manfaatnya dapat dirasai oleh lebih ramai rakyat Pahang,” kata beliau.



