Indonesia tahan ketua pendakwa raya rasuah

Indonesia tahan ketua pendakwa raya rasuah

Jakarta: Ketua Pendakwa Raya Jenayah Khas di Jabatan Peguam Negara Indonesia, Febrie Adriansyah, ditahan selepas pihak berkuasa negara itu merampas AS$19 juta (kira-kira RM 77.72 juta) serta lebih 70 kilogram (kg) jongkong emas dari kediamannya dan beberapa hartanah lain dalam siasatan kes pengubahan wang haram.

Penolong Peguam Negara bagi Pengawasan, Rudi Margono berkata, Febrie Adriansyah didakwa melakukan pengubahan wang haram ketika berkhidmat sebagai jawatan pendakwa raya untuk kes rasuah di negara itu.

Difahamkan, ekonomi terbesar Asia Tenggara itu sejak sekian lama bergelut dengan rasuah dan sudah menahan puluhan pegawai awam dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Terdahulu, Febrie meletak jawatannya pada 11 Julai lalu selepas berkhidmat selama lebih empat tahun.

Beliau berundur susulan serbuan di beberapa hartanah termasuk rumahnya di luar Jakarta, baru-baru ini.

Menurut media tempatan, dalam serbuan berkenaan, penyiasat merampas AS$19 juta (kira-kira RM 77.72 juta) dalam pelbagai mata wang termasuk 74 kg jongkong emas yang bernilai jutaan dolar.

Selepas soal siasat selama beberapa jam pada lewat Jumaat, Febrie menafikan sebarang salah laku dan mendakwa dirinya menjadi mangsa ‘jenayah’ dalam kenyataan kepada televisyen tempatan.

Bagaimanapun peguamnya, Febri Diansyah berkata, anak guamnya berharap proses undang-undang dapat diteruskan secara adil.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top