KOTA TINGGI: Penganjuran Ironman 70.3 Desaru Coast edisi kelima terus membuktikan keupayaannya sebagai pemangkin utama sports tourism apabila menjana impak ekonomi tempatan sehingga RM10 juta sepanjang ia berlangsung.
Pengarah Tourism Johor, Mohammad Nazrul Abd Rahim berkata, edisi kelima itu juga menyaksikan peningkatkan penyertaan seramai 1,032 atlet dari 42 buah negara.
Menurutnya, setiap peserta yang hadir lazimnya membawa bersama ahli keluarga sekali gus menggandakan lagi jumlah kehadiran pengunjung.
“Setiap pelancong berkualiti yang hadir ke acara berprestij seperti ini dianggarkan membelanjakan paling minima RM3,000 itu tidak termasuk untuk membeli belah.
“Malah majoriti hotel di sekitar Desaru Coast seperti Westin dan Hard Rock kini berstatus habis ditempah. Justeru, kita menganggarkan limpahan ekonomi (spillover) sekitar RM6 juta hingga RM10 juta berjaya dicipta untuk acara Ironman ini,” katanya kepada pemberita selepas hadir acara pelepasan IRONMAN 70.3 Desaru Coast yang disempurnakan Pegawai Daerah Kota Tinggi, Miswan Yunus.
Mengulas mengenai penganjuran edisi kali ini, Mohammad Nazrul menjelaskan keutamaan Tourism Johor dan pihak penganjur adalah untuk mengekalkan mutu perkhidmatan serta aspek keselamatan peserta.
Jelasnya, rekod bersih tanpa sebarang insiden serius sepanjang lima tahun penganjuran menjadi bukti komitmen tinggi pihak penganjur dalam memberi keyakinan kepada peserta luar negara.
“Cabaran cuaca dengan angin dan ombak agak tinggi bagi acara renang hari ini tetap tidak mematahkan semangat peserta. Mereka mempunyai motivasi yang sangat tinggi dan kekal bersemangat.
“Maklum balas positif daripada peserta dari segi keselamatan dan fasiliti membolehkan kita terus menambah baik kualiti penganjuran.
“Hasilnya, bilangan penyertaan saban tahun terus menunjukkan peningkatkan berbanding edisi terdahulu,”katanya lagi.-UTUSAN




