Atlet para bangga diiktiraf di Sukan Komanwel

Atlet para bangga diiktiraf di Sukan Komanwel

Glasgow: Sukan Komanwel terus menjadi pemangkin perubahan persepsi terhadap golongan orang kurang upaya (OKU) di Afrika apabila temasya itu menggabungkan acara atlet normal dan para dalam satu jadual pertandingan.

Tidak seperti Sukan Paralimpik yang diadakan secara berasingan, pingat dimenangi atlet para di Sukan Komanwel dikira bersama pingat atlet normal dalam kedudukan keseluruhan, sekali gus meletakkan kedua-dua kategori pada taraf yang sama.

Kapten skuad renang Uganda, Husnah Kukundakwe berkata pendekatan inklusif itu membantu meningkatkan pengiktirafan terhadap sukan para di seluruh dunia.

“Sukan benar-benar menjadi pemacu kepada perubahan.

“Ia menunjukkan renang para dan sukan para layak menerima pengiktirafan, pembiayaan serta penajaan yang sama seperti atlet lain,” katanya.

Konsep itu mula diperkenalkan pada Sukan Komanwel Manchester 2002, menjadikannya temasya pelbagai sukan antarabangsa pertama yang menggabungkan acara para dan atlet normal dalam sesi pertandingan yang sama.

Walaupun edisi Glasgow menyaksikan 10 jenis sukan digugurkan selepas mengambil alih penganjuran daripada Victoria, Australia, temasya kali ini tetap mencatat rekod dengan mempertandingkan 47 acara para membabitkan enam jenis sukan.

Pelumba kerusi roda Mauritius, Noemie Alphonse berkata atlet para kini semakin diterima dan dihargai masyarakat.

“Kami berpeluang menunjukkan kemampuan kami dan sukan yang kami ceburi.

“Kami kini dilihat berada pada tahap yang sama.

“Di Sukan Komanwel dan kebanyakan temasya lain sekarang, orang ramai menonton kami di televisyen, menghantar komen positif, mesej sokongan dan memberi semangat.

Kami benar-benar gembira kerana cara pemikiran masyarakat sudah berubah dan mereka melihat kami juga mampu menyumbang kepada negara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top