'Saya bukan mengejar pingat, sertai larian kerana minat'

'Saya bukan mengejar pingat, sertai larian kerana minat'

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemuda ini bertubuh kecil namun bersemangat besar dan lincah berlari malah aktif menyertai aktiviti larian dan maraton yang dianjurkan di merata tempat dekat seluruh negara.

Buktinya, Muhammad Azim Azizan, 28, yang menetap di Kepala Batas, Kedah sanggup menempuh perjalanan jauh dari kampung halamannya untuk ke program larian yang ada kalanya diadakan di luar kawasan.

Terbaru, Muhammad Azim tidak ketinggalan mengambil bahagian dalam Larian Cergas Parlimen 2026 sejauh lima kilometer (km) dengan pelepasannya bermula di pintu utama Bangunan Parlimen, di sini.

Bercerita lanjut, Muhammad Azim berkata, dia cenderung dalam sukan olahraga sejak di sekolah menengah namun semakin aktif selepas tamat persekolahan.

Lantaran itu, Muhammad Azim tidak akan melepaskan peluang mengambil bahagian dalam acara larian jika ada kelapangan malah sanggup mengumpul wang untuk membayar yuran penyertaan juga menampung kos pengangkutan serta penginapan hotel di sekitar lokasi acara.

“Saya bukan mengejar pingat, sijil atau kedudukan dalam podium dan turut serta kerana minat.

“Bagi saya, menang atau kalah itu adalah pertandingan….jika menang rezeki tapi seandainya tewas pun saya seronok kerana dapat turut serta.

“Kepuasannya bukan saja kerana dapat buat apa yang saya minat iaitu berlari tapi apabila boleh berkenalan dengan rakan baru selain berjalan melihat tempat orang,” katanya kepada Harian Metro.

Muhammad Azim berkata, dia tidak mengehadkan penyertaan dalam acara larian tertentu seperti maraton 42 km dan ultra maraton 50 km.

Sebaliknya, acara ‘fun run’ sejauh lima km dan larian 10 km juga menarik minatnya untuk mengambil bahagian.

“Saya pernah ke Sarawak untuk menyertai Kuching Half Marathon 2026 pada Januari lalu semata-mata nak sertai acara larian….saya dapat tahu penganjuran sesuatu acara daripada rakan dalam komuniti pelari dan hebahan di media sosial.

“Perasaan teruja nak ambil bahagian itu sampai tahap simpan duit gaji sebagai belanja untuk masuk acara akan datang dengan yang terbaru adalah larian malam The Northernmost Padang Besar di Perlis pada bulan depan.

“Bagi saya, aktif dalam larian ini bukan sekadar hobi atau minat tapi salah satu cara saya mengamalkan gaya hidup sihat.

“Sukan ini pun tak mengganggu tugasan hakiki kerana kebiasaannya saya menjalani rutin latihan pada petang selepas waktu kerja atau sebelah malam,” katanya yang mendapat sokongan kuat daripada keluarga terutama ibu bapanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top