Terima Kasih Lydia atas persahabatan istimewa kita – Elliza Razak

Terima Kasih Lydia atas persahabatan istimewa kita – Elliza Razak

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi, Elliza Razak, 42, mengakui rindu terhadap rakan baiknya, Allahyarham Lydia Ibtisam Abdul Wahab, 46, yang meninggal dunia akibat penyakit autoimun pada Khamis lalu.

Elliza berkata terlalu banyak kenangan persahabatannya bersama arwah Lydia yang kali terakhir berlakon sama dalam drama Lembuku Ben disiarkan TV2 pada 2014 dan menyifatkan Allahyarham sebagai teman sejati

“Saya rindu dia (Lydia). Apa yang saya boleh cakap mengenai keperibadian arwah Lydia ini ialah dia seorang sahabat yang saangat baik, jujur dan ‘caring’ (ambil berat) dengan cara dia sendiri.

“Dia juga adalah salah satu ‘bahu’ yang boleh ‘comfort’ (selesakan) saya kalau saya dah tak nampak jalan dalam hidup ini. Bila borak dengan Lydia terus rasa lapang dada.

“Selain itu, Lydia juga orangnya sangat ‘fun’. Ikhlas saya katakan, memang jadi hilang masalah bila saya dapat berbual semuanya dengan dia. Lydia baik, insan yang amat baik. Tak tahu nak cakap macam mana baiknya dia,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Elliza yang juga bekas bintang Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) ini, mereka pernah duduk serumah selama tiga bulan ketika sama-sama membintangi drama Lembuku Ben.

“Ketika itu, anak Lydia iaitu Alisa baru berusia lapan bulan waktu kami ‘shooting’ pada 2013, dan anak itu juga suka ketuk pintu bilik saya untuk bermanja. Sekarang Alisa sudah berumur 14 tahun dan dia lebih tinggi daripada saya.

“Terima kasih Lydia atas persahabatan istimewa kita ini. Tak boleh lupa sampai sekarang, kita pernah buat dialog sendiri sebab tiada skrip. Memang menjadi betul dan kita pun tak sangka,” katanya.

Ujar Elliza, dia bagaimanapun akan terus mendoakan Lydia agar rohnya dicucuri rahmat di sisi Yang Maha Esa serta kubur ibu dua cahaya mata itu terus diterangi cahaya terang-benderang dari syurga.

Terdahulu, Allahyarham Lydia Ibtisam mendapat rawatan lanjut penyakit autoimun itu di sebuah pusat perubatan di ibu kota sehingga menghembuskan nafaz terakhir, jam 4 petang pada 23 Julai lalu.

Jenazah Allahyarham Lydia kemudiannya dibawa pulang ke Pulau Pinang untuk urusan pengebumian oleh suaminya, Ezam Merican dan keluarga pelakon drama Impian Illyana itu.

Arwah Lydia bertemu jodoh dengan pengurusnya, Ezam.pada 2008 dan dikurniakan sepasang cahaya mata.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top