harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sistem merit dicadangkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mampu memecahkan budaya berdiam diri dalam kalangan pelajar, namun pelaksanaannya perlu dikaji dengan teliti.
Pensyarah Kanan Pusat Bahasa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr Ahmad Thamrini Fadzlin Syed Mohamed berkata, sistem laporan dan ganjaran dilihat tidak efektif serta dikhuatiri disalahgunakan melalui tuduhan palsu.
“Kajian menunjukkan seorang daripada tiga pelajar mengalami buli siber, tetapi lebih separuh enggan melapor kerana takut dibalas atau tidak yakin pihak sekolah akan melindungi mereka.
“Namun, kelemahannya juga besar. Apabila ganjaran diberikan untuk maklumat, kita berisiko menukar pelajar menjadi pemberi maklumat sulit,” katanya dihubungi Harian Metro, hari ini.
Terdahulu media melaporkan PDRM mencadangkan sistem merit diperkenalkan kepada pelajar yang berani menyalurkan maklumat mengenai buli, peras ugut atau dadah.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Noor Hisam Nordin dilapor berkata cadangan itu antara langkah dikemukakan bagi memperkukuh pencegahan susulan beberapa insiden serangan membabitkan pelajar di sekolah kebelakangan ini.
Ahmad Thamrini Fadzlin berkata, cadangan itu dilihat mempunyai logik tersendiri terutama bagi menggalakkan pelajar lebih berani untuk tampil ke hadapan sekiranya dibuli atau menghadapi masalah dadah atau peras ugut.
Bagaimanapun katanya timbul persoalan etika dan psikososial sekiranya menjadikan golongan remaja sebagai sumber risikan kerana pengadu masih perlu bergerak dalam ruang yang sama dengan pihak yang diadukan.
“Jika kita benar-benar mahu mengurangkan keganasan, kita perlu bergerak daripada tindakan selepas kejadian buli kepada pencegahan.
“Hukuman, penggantungan dan laporan polis mungkin perlu, tetapi semuanya berlaku selepas kerosakan dilakukan.
“Pembelajaran Sosial dan Emosi atau Social-Emotional Learning (SEL) menawarkan pendekatan yang lebih kukuh.
“SEL mengajar empati, kawalan diri, penyelesaian masalah, pengurusan emosi dan komunikasi berkesan.
“Kajian menunjukkan penggunaan SEL berjaya mengurangkan buli, penganiayaan dan tingkah laku agresif di sekolah,” katanya.
Ahmad Thamrini berkata, kaedah pendidikan SEL adalah satu alat pencegahan yang proaktif berbanding menanti pelajar yang berani tampil ke hadapan selepas berlaku sesuatu kejadian buli atau perlakuan agresif lantas memastikan ‘pukulan’ itu tidak berlaku.
Katanya, keganasan dalam kalangan pelajar jarang muncul secara tiba-tiba dan lazimnya mempunyai tanda awal seperti kemarahan tidak terkawal, pengasingan diri, obsesi kandungan berunsur ganas atau merasakan diri terpinggir.
Justeru, untuk benar-benar menangani isu buli, peras ugut, dan dadah di sekolah semua pihak termasuk ibu bapa harus bersatu padu membina persekitaran yang inklusif bukan sekadar menjalankan kempen.
“Kakitangan sekolah juga perlu dilatih untuk mengenal pasti tanda amaran awal tanpa melabel setiap pelajar pendiam sebagai ancaman bertujuan memberi sokongan awal kepada pelajar terbabit sebelum masalah mereka menjadi tidak terkawal.
“Sekolah juga perlu bergerak daripada disiplin yang semata-mata menghukum kepada amalan pemulihan.
“Pendekatan ini menekankan komunikasi, tanggungjawab, pemulihan hubungan dan penyelesaian konflik.
“Pelaku tetap perlu bertanggungjawab, tetapi hukuman semata-mata tidak semestinya mengubah tingkah laku.
“Menggantung seorang pelajar selama seminggu mungkin hanya menjadikan dia kembali dengan kemarahan yang sama,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




