Pemilihan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebagai tuan rumah perlumbaan Formula Satu (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix membuktikan keyakinan dunia terhadap keupayaan Malaysia menganjurkan acara sukan bertaraf antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penganjuran perlumbaan gantian GP Bahrain di Sepang bukan sekadar acara sukan permotoran, malah mencerminkan hubungan persahabatan, kepercayaan dan kerjasama erat antara Malaysia dengan Bahrain.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perbincangan bersama Putera Mahkota Bahrain merangkap Perdana Menteri Bahrain, Sheikh Salman bin Hamad Al Khalifa serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Formula Satu (F1), Stefano Domenicali.
“Saya merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada Yang Mulia Putera Mahkota, kerajaan dan rakyat Bahrain atas kepercayaan yang diberikan kepada Malaysia.
“Kami berbesar hati untuk menyokong Bahrain, F1 dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dalam menganjurkan F1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang tahun ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Anwar berkata, kerjasama itu turut mengukuhkan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang memiliki keupayaan, infrastruktur bertaraf dunia serta pengalaman luas dalam mengendalikan acara antarabangsa berprofil tinggi.
Artikel lain: Sah! F1 kembali gegarkan Sepang, GP Bahrain rasmi berlangsung di Malaysia Oktober ini
“Malaysia bersedia menyambut kedatangan F1, FIA, pasukan dan peminat dari seluruh dunia ke Sepang.
“Kami berharap dapat menampilkan infrastruktur bertaraf dunia, kecemerlangan operasi serta hospitaliti mesra Malaysia, selain memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara menerusi acara istimewa ini,” katanya.

Terdahulu, Formula Satu mengesahkan SIC akan menjadi lokasi perlumbaan gantian GP Bahrain pada 4 Oktober depan selepas pusingan Bahrain yang dijadualkan berlangsung pada April lalu dibatalkan susulan situasi keselamatan di Asia Barat.
Perlumbaan itu akan dikenali secara rasmi sebagai Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia, sekali gus menandakan kembalinya Formula Satu ke Sepang selepas kali terakhir litar itu menjadi tuan rumah pada 2017.




