am@hmetro.com.my
Port Dickson: Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan mengakui peranan Barisan Nasional (BN) dalam memastikan kestabilan politik negeri selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan.
Namun, Pengerusi PH negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan peningkatan pelaburan dan hasil negeri adalah hasil usaha pentadbiran kerajaan negeri di bawah PH.
Beliau berkata, pencapaian nilai pelaburan tinggi ketika ini bukan berlaku secara mendadak, sebaliknya hasil perancangan dan kerja yang dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Mengulas kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang menyifatkan BN sebagai ‘rakan kongsi’ dalam pencapaian tersebut, calon PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi itu mengakui sumbangan BN dari sudut kestabilan kerajaan.
Bagaimanapun, tegasnya usaha menarik pelaburan termasuk promosi industri dilakukan bersama Exco Perindustrian dan Hal Ehwal Bukan Islam, Teo Kok Siong.
“Kita sudah bekerja lima tahun sebelum itu. Saya Exco Pelaburan, manakala Exco Perindustrian pula saudara Teoh.
“Jadi saya tidak tahu kalau dia EXCO Pertanian (Jalaluddin) kata dia menyumbang dalam bahagian mana. RM19 bilion itu tidak termasuk pelaburan pertanian.
“Memang BN menyumbang kepada kestabilan ketika itu, tetapi usaha promosi dilakukan oleh saya dan Teo Kok Siong selaku EXCO Industri. Saya pula portfolio Pelaburan,” katanya ketika ditemui selepas program ramah mesra bersama masyarakat India di Air Kuning, malam ini.
Sebelum ini, Jalaluddin berkata peningkatan nilai pelaburan dan hasil negeri bukan usaha PH semata-mata, sebaliknya turut dibantu peranan wakil rakyat BN yang memiliki 14 kerusi DUN selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan pada penggal lalu.
Dalam perkembangan sama, Aminuddin berkata persamaan tawaran dalam manifesto BN dan Perikatan Nasional (PN) dengan PH menunjukkan kedua-dua gabungan itu menerima pendekatan yang dilaksanakan kerajaan negeri ketika ini.
“Memang mereka salin (copy paste) daripada PH, menunjukkan mereka menerima dan mengakui apa yang PH buat adalah yang terbaik.
“Kalau kita lihat apa yang mereka lakukan, serupa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




