Ancaman dadah sintetik semakin membimbangkan

Ancaman dadah sintetik semakin membimbangkan

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kegilaan penagih terhadap dadah sintetik yang mempunyai kesan lebih kuat, lebih cepat, dan lebih mudah untuk diproses berbanding bahan tradisional perlu dijadikan agenda utama masyarakat dan pihak berkuasa sebelum masalah itu membarah.

Pengerusi Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) Pahang Daniel Khoo berkata, semakin hari ada sahaja berita kurang enak berhubung individu disyaki di bawah pengaruh dadah sintetik berkenaan yang menimbulkan kegusaran awam.

Menurutnya, pihak berwajib perlu melipat gandakan usaha dalam mencegah kemasukan dan penjualan bahan terlarang berkenaan yang kini dijual dalam pelbagai bentuk termasuk rokok elektronik malah ia mudah diperoleh.

“Dalam isu ini saya percaya kita perlu bergerak bersama dan berganding bahu bermula daripada pendidikan awal dari rumah, sekolah sehingga kepada penguatkuasaan dan pemulihan.

“Kerajaan perlu menjadikan usaha memerangi dadah secara total sebagai antara agenda utama negara bermula daripada pembekal sehinggalah pengedar kecil-kecilan dan penagih dadah itu sendiri,” katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, beliau senada dengan gesaan Tan Sri Lim Lam Thye yang mendesak kerajaan supaya menjadikan isu dadah sintetik sebagai agenda utama negara yang memerlukan tindakan lebih drastik.

Katanya, penyalahgunaan dadah adalah satu perbuatan sia-sia yang bukan hanya merugikan diri sendiri malah untuk jangka masa panjang dikhuatiri menjatuhkan negara dari pelbagai sudut.

“Ramai penagih khususnya dadah sintetik mengalami kerosakan kepada fungsi otak dan akhirnya mengalami masalah mental. Perkara ini turut memberi kesan negatif kepada emosi ahli keluarga penagih itu sendiri lebih-lebih lagi jika sudah berumah tangga.

“Hal ini menjurus kepada keruntuhan institusi kekeluargaan, menjadi pemangkin masalah keganasan rumah tangga, pengabaian anak dan perceraian.

“Dari sudut ekonomi pula kita kehilangan sejumlah besar tenaga buruh yang sepatutnya menyumbang kepada ekonomi sebaliknya menagih dadah. Peruntukan untuk institusi mental dan penjara juga banyak dihabiskan ke atas golongan ini,” katanya.

Justeru katanya tanggungjawab memerangi najis dadah memerlukan kerjasama padu daripada semua pihak termasuk pihak berkuasa, kementerian, badan bukan kerajaan (NGO), dan masyarakat.

Katanya, pencegahan dadah perlu dilakukan secara holistik bermula daripada peringkat tertinggi sehingga ke lorong-lorong di kawasan perumahan anda sendiri.

Beliau berkata sudah tiba masanya masyarakat setempat, komuniti, dan individu perseorangan berhenti menuding jari sebaliknya mengorak langkah bersama pihak berkuasa dalam usaha membanteras dadah secara menyeluruh.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top