TEHERAN – Situasi di Asia Barat kembali tenang pada Isnin apabila Iran dan Amerika Syarikat (AS) menghentikan serangan masing-masing pada Isnin, sekali gus memberi kelegaan sementara kepada laluan perkapalan Teluk serta industri minyak yang terjejas akibat konflik berpanjangan.
Washington mendakwa Presiden Donald Trump kononnya mahu memberikan sedikit ruang kepada rundingan yang tertangguh selepas kempen pencerobohan kembali dilancarkan kira-kira dua minggu lalu.
Teheran dalam satu kenyataan mengesahkan ia telah menghentikan operasi serangan balas terhadap kemudahan dan pangkalan musuh mereka di rantau tersebut.
Konflik itu memuncak selepas tentera AS telah melancarkan serangan terhadap Iran selama 13 malam berturut-turut. Sepanjang minggu lalu, ketegangan itu dilaporkan menunjukkan tanda-tanda mula reda.
Tempoh bertenang tersebut menghidupkan semula harapan untuk kembali ke meja rundingan walaupun media Amerika melaporkan jeda itu mungkin dipengaruhi oleh kekangan stok peluru pemintas Patriot dan sistem pertahanan lain. Trump bagaimanapun menafikan laporan tersebut.
“Kami mempunyai lebih banyak peluru berbanding mana-mana negara di dunia dan bekalannya jauh lebih banyak daripada yang kami perlukan,” ujarnya dengan angkuh menerusi wawancara bersama The Wall Street Journal.
Dalam perkembangan berkaitan, Iran memberi amaran untuk mengambil tindakan terhadap Ukraine selepas mendakwa Kiev membedil kapal komersialnya di Laut Kaspia pada Sabtu lalu.
Menteri Luar, Abbas Araghchi berkata, serangan yang meragut satu nyawa itu tidak akan terlepas daripada tindak balas tegas.
Menerusi catatan di media sosial, Araghchi mendakwa Israel mencetuskan serangan itu di bawah rancangan jahat untuk mengheret Eropah ke dalam konflik tersebut.
Ukraine pula menjelaskan bahawa serangan itu menyasarkan kapal yang digunakan untuk mengangkut kargo ketenteraan berkaitan Iran. – Agensi



