Ibu Aqish sukar bergerak, alami cyst kali kedua

Ibu Aqish sukar bergerak, alami cyst kali kedua

puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon, Puteri Balqis menluahkan rasa bimbang apabila ibunya kembali berdepan masalah kesihatan selepas disahkan mengalami ketumbuhan cyst buat kali kedua dalam tempoh dua bulan.

Puteri Balqis Azizi atau lebih mesra disapa Aqish, 19, berkongsi bahawa ibunya kini berada dalam keadaan sukar bergerak sehingga tidak mampu berjalan selepas memasuki hari ketiga akibat saiz ketumbuhan makin membesar.

“Ibu Aqish kena cyst lagi dalam tempoh dua bulan. Hari ketiga tak boleh jalan langsung. Cyst sudah besar separuh epal,” tulisnya menerusi hantaran di Instagram.

Menurut Aqish, perubahan itu meninggalkan rasa sunyi buat Aqish memandangkan ibunya baru sahaja meluangkan masa bersama dan kelihatan gembira sebelum ini.

“Baru sahaja kami bawa dia jalan-jalan, gembira tengok dia gelak. Ini sudah sakit balik. Sunyi balik bila balik rumah,” kongsinya.

Dalam hantaran sama, pelakon drama Akulah Balqis itu turut memohon pandangan serta nasihat daripada pengikutnya di media sosial yang mempunyai pengalaman serupa.

Berkongsi mengenai perkembangan kesihatan ibunya, Aqish mendedahkan ibunya turut mengalami gangguan ‘Post-Traumatic Stress Disorder’ (PTSD) seminggu sebelum diserang cyst.

“PTSD mommy agak teruk seminggu sebelum kena cyst. Tapi tiada (kena) mengena rasanya,” tulisnya.

Dalam pada itu, Aqish turut meluahkan rasa terharu dan penghargaan mendalam terhadap pengorbanan bapa tirinya yang berhempas-pulas menjaga ibunya tanpa mengira masa.

“Terima kasih Apak tidak tidur siang malam jaga isteri. Besar jasa apak.

“Terima kasih Didi ambil alih kerja apak buat sementara. Kami sayang Mommy dan Apak,” tulisnya lagi.

Menerusi ruangan komen hantaran berkenaan, rata-rata netizen berkongsi tips serta nasihat buat ibunya yang mengalami ketumbuhan cyst selain mendoakan kesejahteraan ibunya itu.

“Semoga cepat sembuh mommy aqish dan semoga dipermudahkan segala urusan keluarga aqish juga,” tulis netizen.

“Moga mommy aqish kuat Iawan sakit dan cepat sihat ya,” tulis warga maya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top