surayaroslan@mediaprima.com.my
Jam sudah melepasi 11 malam, namun masih ramai wanita yang belum dapat merehatkan diri.
Ada yang masih menyiapkan tugasan pejabat, mengemas rumah, melipat pakaian, membantu anak menyiapkan kerja sekolah atau sekadar meluangkan masa melayari media sosial selepas seharian sibuk.
Apabila tiba waktu tidur, badan sudah terlalu letih tetapi fikiran masih aktif.
Akhirnya, waktu tidur semakin pendek dan ada yang hanya memperoleh lima hingga enam jam tidur setiap malam.
Situasi ini mungkin kelihatan biasa, namun pakar kesihatan mengingatkan bahawa tidur yang tidak mencukupi secara berterusan boleh memberi kesan besar terhadap kesihatan wanita, bukan sahaja dari segi fizikal, malah emosi dan keseimbangan hormon.
Ramai menganggap tidur sebagai perkara yang boleh ‘diganti’ pada hujung minggu.
Hakikatnya, tubuh memerlukan tidur yang berkualiti setiap malam untuk membolehkan otak, hormon dan organ penting menjalankan proses pemulihan secara optimum.
Kurang tidur boleh mengganggu keseimbangan hormon yang mengawal selera makan, tekanan, metabolisme dan kitaran haid.
Apabila seseorang tidur terlalu sedikit, hormon ghrelin yang merangsang rasa lapar akan meningkat, manakala hormon leptin yang memberi isyarat kenyang pula menurun.
Akibatnya, wanita lebih mudah berasa lapar, terutama menginginkan makanan manis atau tinggi kalori.
Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh menyukarkan usaha mengawal berat badan walaupun mengamalkan diet dan bersenam secara konsisten.
Bagi sesetengah wanita, tidur yang tidak berkualiti juga boleh menyebabkan kitaran haid menjadi tidak menentu, selain memburukkan simptom sindrom prahaid (PMS) dan perimenopaus.
Kurang tidur juga menyebabkan otak sukar mengawal emosi dengan baik.
Wanita menjadi lebih mudah mengalami tekanan, keresahan, hilang fokus dan keletihan mental.
Tidur yang berkualiti penting untuk membolehkan tekanan darah dan degupan jantung kembali stabil selepas seharian bekerja.
Kajian menunjukkan wanita yang kerap tidur kurang daripada tujuh jam setiap malam berisiko lebih tinggi mengalami tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan diabetes, terutama apabila keadaan itu berlarutan selama bertahun-tahun.Oleh itu, tidur tidak seharusnya dianggap sebagai kemewahan atau tanda seseorang malas.
Sebaliknya, ia adalah keperluan asas bagi memastikan tubuh terus berfungsi dengan baik.
Tip mendapatkan tidur yang lebih berkualiti
1. Sasarkan tidur antara tujuh hingga sembilan jam setiap malam.
2. Tidur dan bangun pada waktu yang sama setiap hari, termasuk hujung minggu.
3. Elakkan minuman berkafein tiga hingga enam jam sebelum tidur.
4. Kurangkan penggunaan telefon, tablet atau komputer sekurang-kurangnya satu jam sebelum tidur.
5. Pastikan bilik tidur gelap, tenang dan bersuhu selesa.
6. Lakukan aktiviti menenangkan seperti membaca, mandi air suam atau teknik pernafasan sebelum tidur.
7. Elakkan makan dalam kuantiti yang banyak atau bersenam secara intensif terlalu hampir dengan waktu tidur.
8. Jika sukar tidur, berdengkur kuat atau sering terjaga pada waktu malam sehingga menjejaskan kehidupan harian, dapatkan pemeriksaan daripada doktor bagi mengenal pasti puncanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




