PRN N9: 38 pusat mengundi awal dibuka jam 8 pagi

PRN N9: 38 pusat mengundi awal dibuka jam 8 pagi

am@hmetro.com.my

Seremban: Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 bermula jam 8 pagi ini di 38 pusat mengundi seluruh negeri, membabitkan 16,884 anggota tentera dan 5,455 anggota polis serta pasangan yang layak.

Semua pusat mengundi berkenaan dibuka serentak pada 8 jam pagi, manakala waktu penutupan ditetapkan secara berperingkat antara 12 tengah hari hingga 5 petang, mengikut lokasi dan jumlah pengundi.

Mengikut Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 23 Julai mengenai penetapan waktu mengundi bagi PRN berkenaan, terdapat 18 pusat pengundian awal akan ditutup pada jam 12 tengah hari.

Selain itu, dua pusat pengundian ditutup pada jam 2 petang, manakala 18 lagi ditutup pada jam 5 petang.

Antara lokasi pusat pengundian awal diwartakan ialah Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) Port Dickson; Pangkalan Udara Sendaya dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di Seremban; Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai dan Kem Tentera Syed Sirajuddin, Gemas, di Tampin.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan cuaca baik di hampir seluruh kawasan di Negeri Sembilan pada sebelah pagi.

Kebanyakan daerah merangkumi Seremban, Jempol, Jelebu, Kuala Pilah, Tampin dan Rembau dijangka cerah sepanjang pagi hingga tengah hari, manakala Port Dickson dijangka mendung.

Pada sebelah petang, kebanyakan kawasan di hampir semua daerah di negeri itu dijangka mengalami hujan lebat serta ribut petir.

Hari pengundian biasa pada 1 Ogos ini bakal berlangsung di 395 pusat pengundian, membabitkan sekolah, balai raya, kolej, kompleks sukan dan dewan orang ramai.

Seramai 867,151 pengundi biasa berdaftar layak mengundi pada PRN kali ini.

PRN Negeri Sembilan Ke-16 menyaksikan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan dengan 103 calon.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top