PRN N9: Fokus pilih pemimpin terbaik, tolak tepi provokasi – Johari

PRN N9: Fokus pilih pemimpin terbaik, tolak tepi provokasi – Johari

am@hmetro.com.my

Kuala Pilah: Pengundi di Negeri Sembilan diminta memberi tumpuan kepada tanggungjawab memilih pemimpin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, 1 Ogos ini dan tidak terpengaruh dengan kenyataan provokasi sepanjang kempen.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata fokus utama kini ialah mengetengahkan agenda dan dasar Barisan Nasional (BN) dengan memilih pemimpin yang tepat bagi membentuk kerajaan negeri.

Katanya, persoalan paling utama ialah sama ada calon dipilih mampu menjaga rakyat dan berkhidmat untuk kawasan.

Johari berkata, pelbagai tuduhan dilemparkan kepada BN dan UMNO apabila tiba musim pilihan raya, termasuk membangkitkan semula isu lama membabitkan pemimpin.

“Isu yang dimainkan soal BN ini adalah isu skandal atau salah laku. Mana-mana parti politik khususnya BN, kalau kita berdepan dengan pemimpin yang ada salah laku, kita ambil tindakan.

“Berapa ramai pemimpin kita ambil tindakan? Yang pernah jadi menteri besar kita ambil tindakan, yang pernah jadi exco kita ambil tindakan, yang pernah jadi menteri kita ambil tindakan, yang jadi pengerusi perhubungan kalau tak betul kita ambil tindakan.

“Malah, yang jadi perdana menteri pun kalau mahkamah menetapkan dia kena masuk (penjara), masuk (penjara),” katanya berucap pada program minum pagi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Tengah Seri Menanti, hari ini.

Hadir sama, calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Menanti, Sufian Maradzi.

Johari menegaskan, BN tidak pernah menjaga atau mempertahankan mana-mana pemimpin sekiranya mereka melakukan kesalahan.

“Kalau ada salah, ambil tindakan melalui proses. Itu BN, sebab kita memerintah negara ini 60 tahun. Kita tak pernah simpan penjenayah. Kalau ada penjenayah, kalau didapati bersalah, masuk (penjara). Kalau dia buat silap, masuk.

“Itu tidak bermakna kerana satu dua orang, parti yang berjasa 60 tahun ini menjadi mangsa,” katanya.

Katanya, BN adalah parti yang sentiasa melahirkan pemimpin muda, berkaliber dan berpengalaman menjadi pemimpin.

Sementara itu, beliau menyifatkan Sufian sebagai pemimpin akar umbi yang mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang dan wajar dilantik sebagai EXCO jika BN kembali memerintah Negeri Sembilan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top