PSM tagih sentuhan Syahir di Jepun

PSM tagih sentuhan Syahir di Jepun

saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) berharap tekong utama negara, Syahir Rosdi, dapat pulih sepenuhnya daripada kecederaan bagi memperkuatkan skuad kebangsaan pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun, dari 19 September hingga 4 Oktober depan.

Presiden PSM, Datuk Sumali Reduan berkata, kehadiran tekong nombor satu dunia itu bukan saja mampu memperkukuhkan pasukan negara, malah memberi kelebihan dari sudut psikologi terutama terhadap musuh tradisi, Thailand.

Menurutnya, walaupun PSM mempunyai beberapa tekong yang semakin meningkat prestasi dan bersedia menggalas tanggungjawab sekiranya Syahir gagal pulih, pengalaman serta reputasi dimiliki pemain itu sukar digantikan.

“Kami memang sentiasa bersedia kalau ditakdirkan memang Syahir tak boleh beraksi kerana belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan. Kami ada tekong-tekong yang saya kira sudah banyak menunjukkan peningkatan serta boleh bersaing dengan tekong-tekong lain.

“Dalam masa sama, kita juga masih mengharapkan Syahir ada dalam skuad untuk Sukan Asia sebab Syahir ada kelebihan tersendiri yang memang Thailand pun takut dengan dia.

“Sebab itu kita kena gunakan kesempatan itu untuk Syahir ada dalam skuad dan boleh bermain,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PSM, semalam.

Syahir sebelum ini mengalami kecederaan pada otot atau tendon betis kanan ketika beraksi di Piala Dunia Sepak Takraw pada Mei lalu, sekali gus memerlukan tempoh pemulihan antara enam hingga lapan minggu.

Mengulas lanjut, Sumali berkata kehadiran Syahir turut memberi lebih banyak pilihan kepada barisan kejurulatihan sekiranya berlaku penurunan prestasi pemain ketika perlawanan berlangsung.

“Kadang-kadang semasa berlangsungnya perlawanan, prestasi pemain sedikit menurun. Dalam situasi seperti ini, kebijaksanaan jurulatih amat penting untuk melakukan perubahan drastik.

“Tetapi secara luarannya, kalau ada Syahir, dia akan memberi satu kesan ataupun impak yang positif kepada kita dan itu juga salah satu (perang) psikologi yang kita nak tunjuk kepada Thailand,” katanya.

Menurut Sumali, peluang Syahir beraksi di Jepun bergantung sepenuhnya kepada tahap pemulihan dan kesediaan pemain itu sendiri.

“Syahir saja yang boleh menentukan prestasi diri dia sendiri dan sudah pasti saya rasa Syahir pun ada azam dan semangat tersendiri selepas prestasi yang kurang baik di Piala Dunia.

“Sukan Asia adalah medan yang sesuai untuk Syahir buktikan bahawa dia masih berada pada tahap tekong nombor satu dunia,” katanya.

Skuad negara akan beraksi dalam acara regu dan juga berpasukan pada temasya yang berlangsung empat tahun sekali itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top