Seremban: Harga minimum getah disasarkan mencecah RM5 sekilogram menjelang akhir 2027 dalam usaha meningkatkan pendapatan dan taraf hidup lebih 500,000 pekebun kecil getah di seluruh negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata sasaran itu menjadi cabaran kepada pengurusan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) untuk mencari pendekatan baharu bagi memastikan komoditi berkenaan dapat diniagakan pada harga lebih tinggi meskipun dipengaruhi faktor permintaan dan penawaran di pasaran global.
Katanya usaha meningkatkan harga getah bukan sekadar bertujuan menambah pendapatan pekebun kecil, malah penting bagi memastikan sektor itu terus mampan serta menarik minat generasi muda untuk menceburi dan meneruskan perusahaan berkenaan.
“Ramai mengatakan harga getah bergantung pada permintaan dan penawaran di pasaran global. Itu adalah teori ekonomi tetapi kita perlu mencari pendekatan baharu supaya maruah, prestasi dan pertumbuhan ekonomi pekebun kecil dapat ditingkatkan.
“Kita mahu harga getah yang bermaruah. Ini bukan soal mempromosikan getah semata-mata tetapi membantu pekebun kecil yang menjadi penyumbang utama kepada pengeluaran getah negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




