suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor mengesyorkan lima langkah penambahbaikan tatakelola pengurusan kawalan sempadan bagi memperkukuh pemantauan kemasukan warga asing di Terminal Feri Pasir Gudang, Johor.
Cadangan itu dibentangkan Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Johor, Sheikh Hamadi Sheikh Abdul Hamid kepada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Pasir Gudang Passenger Terminal Sdn Bhd, di pejabat AKPS Pasir Gudang, hari ini.
SPRM dalam kenyataan berkata, antara penambahbaikan dicadangkan ialah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) berdefinisi tinggi di lokasi pemeriksaan kritikal selain penggunaan kamera badan (BWC) oleh pegawai barisan hadapan.
“Turut dicadangkan adalah mengadakan Memorandum Persefahaman (MoU) rasmi antara pihak AKPS, JIM dan pengurusan terminal.
“Cadangan lain ialah pemasangan sistem pintu pintar yang mampu mengesan pergerakan keluar masuk serta menghantar notifikasi secara masa nyata (real-time) kepada pegawai yang diberi kuasa.
“Selain itu, pembangunan prosedur operasi standard (SOP) bersepadu pengurusan kawalan sempadan sebagai dokumen rujukan rasmi di pintu masuk negara,” katanya kenyataan itu, hari ini.
Sheikh Hamadi berkata, kerjasama lebih sistematik antara AKPS, JIM dan pengurusan terminal penting bagi memperkukuh kawalan sempadan serta meningkatkan kecekapan perkhidmatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




