Utamakan rakyat Malaysia! Ramanan mahu peluang pekerjaan diisi warga tempatan dahulu

Utamakan rakyat Malaysia! Ramanan mahu peluang pekerjaan diisi warga tempatan dahulu

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan menegaskan rakyat Malaysia perlu diberi keutamaan untuk mengisi peluang pekerjaan yang tersedia di negara ini sebelum ia dibuka kepada pekerja asing.

KESUMA mahu pastikan lebih ramai rakyat tempatan dapat pekerjaan

Memetik laporan daripada Bernama, beliau menyatakan perkara itu selaras dengan matlamat utama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) untuk memastikan lebih banyak peluang pekerjaan dimanfaatkan oleh rakyat tempatan.

Perkara tersebut dinyatakan beliau ketika diminta mengulas cadangan pengambilan pekerja dalam kalangan pelarian etnik Rohingya yang sah berada di negara ini selepas mengadakan lawatan rasmi Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (PPSMI) di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Senawang.

“Bagi saya sebagai Menteri Sumber Manusia, matlamat utama saya ialah pekerjaan bagi warga Malaysia. Rakyat Malaysia perlu diberikan keutamaan dulu.
“Contohnya, kalau tidak ada yang mengambilnya, ya kita boleh buka untuk warga lain mengambil pekerjaan tersebut.
“Tetapi keutamaan adalah kepada warga Malaysia dulu…yang rakyat Malaysia tak minat ataupun kurang minat, kita boleh tawarkan kepada warga asing tetapi ikutlah undang-undang dan peraturan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Ramanan memaklumkan kementeriannya akan mempermudah proses permohonan pengambilan pekerja asing, khususnya bagi sektor perkhidmatan, selaras arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memenuhi keperluan tenaga kerja dengan segera.

Beliau menambah, arahan turut diberikan kepada jabatan berkaitan di bawah KESUMA supaya mengelakkan birokrasi atau kelewatan dalam memproses permohonan tersebut.

“Perdana Menteri telah memberi kami tempoh 30 hari untuk menyelesaikannya, namun saya akan percepatkan dan berharap dalam tempoh 20 hari kita boleh selesaikan, bergantung kepada beberapa isu di sumber manusia, tapisan keselamatan dan sebagainya,”ujarnya.

Sebelum ini, Perdana Menteri mengarahkan isu permohonan penggajian pekerja asing mengikut keutamaan, khususnya bagi sektor restoran, diselesaikan dalam tempoh sebulan.

Kerajaan turut menetapkan sasaran di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing kepada 10 peratus daripada guna tenaga negara menjelang tahun 2030.

Sumber: Bernama

Scroll to Top