Glasgow: Lani Pallister menambah emas acara 800 meter (m) renang gaya bebas wanita selepas kejayaan dalam 400m dan 1,500m dengan memecahkan rekod temasya.
Australia turut meraih tiga lagi pingat emas untuk menjadikan kutipan mereka meningkat kepada 28 emas, menyamai pencapaian keseluruhan di Birmingham empat tahun lalu walaupun berbaki sehari lagi pertandingan.
“Ia benar-benar luar biasa. Minggu ini kami menunjukkan kekuatan dan dominasi renang Australia,” kata Lani.
Jenna Forrester memenangi emas ketiganya di Glasgow menerusi acara 200m rampaian individu wanita, manakala Flynn Southam muncul juara 100m gaya bebas lelaki.
Australia turut mencipta rekod baharu temasya dalam acara berganti-ganti 4x100m rampaian lelaki.
Namun persembahan paling mencuri tumpuan hadir menerusi Filip Nowacki yang menghadiahkan pingat emas renang pertama dalam sejarah Jersey di Sukan Komanwel menerusi acara 200m kuak dada.
“Berasal dari sebuah pulau kecil seperti Jersey dan mampu bersaing dengan atlet dari Australia, Kanada, England serta negara lain dalam Komanwel adalah sesuatu yang amat istimewa,” kata Nowacki, yang turut memenangi perak dalam acara 100m kuak dada di depan Adam Ramsay-Peaty.
© New Straits Times Press (M) Bhd




