Hujan jejas misi rekod dunia, Latif tetap tunai janji emas

Hujan jejas misi rekod dunia, Latif tetap tunai janji emas

Glasgow: Hasrat jaguh olahraga para negara Datuk Abdul Latif Romly untuk memperbaharu rekod dunia miliknya dalam acara lompat jauh T20 lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 tidak kesampaian berikutan hujan lebat dan cuaca sejuk di Stadium Scotstoun di sini, malam ini.

Bagaimanapun, juara Paralimpik dua kali itu tetap menyempurnakan misi lebih besar selepas menghadiahkan pingat emas kelima buat kontinjen negara.

Sebelum pertandingan bermula, atlet berusia 29 tahun itu secara terbuka menyuarakan impian untuk mengatasi rekod dunia miliknya 7.67 meter (m), namun keadaan di Stadium Scotstoun menyebabkan dia terpaksa mengubah pendekatan dan lebih mengutamakan kemenangan.

Dia berkata, cabaran beraksi dalam cuaca hujan dan suhu rendah amat dirasai hingga tubuhnya mula menggigil selepas melakukan beberapa larian awalan.

“Memang betul saya mahu memecahkan rekod dunia tetapi dengan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan dan hujan, agak sukar untuk melakukannya. Kalau cuaca terlalu sejuk memang susah,” katanya ketika ditemui Bernama.

Latif mengesahkan pingat emasnya menerusi catatan 7.17 m pada percubaan ketiga sementara perak menjadi milik atlet Kanada Noah Vucsics (6.66m) dan seorang lagi wakil negara Eljoe Gotuoh membawa pulang gangsa selepas merekodkan 6.51m.

Catatan 7.17m itu masih jauh daripada rekod peribadinya 7.67m yang juga merupakan rekod dunia.

Sementara itu, kejayaan Latif turut melengkapkan sasaran lima pingat emas kontinjen negara pada temasya kali ini, sesuatu yang tidak dijangka sebelum turun beraksi.

“Saya pun tak jangka menyumbang pingat emas kelima untuk Malaysia, ini rezeki saya,” katanya yang juga pembawa Jalur Gemilang kontinjen negara pada edisi kali ini.

Lebih bermakna, kejayaan itu disaksikan isteri serta ahli keluarganya yang hadir memberikan sokongan dari tempat duduk penonton.

Sebagai rekod, acara lompat jauh T20 lelaki dipertandingkan buat kali pertama pada edisi Glasgow 2026.

Terdahulu, Malaysia meraih empat pingat emas menerusi acara angkat berat masing-masing disumbangkan Aniq Kasdan dalam kategori 60 kilogram (kg), Aznil Bidin (65kg), Erry Hidayat (79kg) dan Hafizuddin Roslin (88kg).

Kontinjen negara menyasarkan lima pingat emas, dua perak dan empat gangsa pada temasya kali ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top