Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan individu atau pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kerugian dan penipuan membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH) akan disiasat secara menyeluruh oleh pihak berkuasa.
Semua akan disiasat
Memetik laporan daripada Harian Metro, beliau menyatakan, siasatan akan dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM), termasuk di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001.
“Keputusan Jemaah Menteri tadi bukan saja nak sebar, orang yang bertanggungjawab menyebabkan kerugian dan penipuan, salah guna kuasa akan disiasat oleh PDRM, SPRM dan Bank Negara.
“Semua akan disiasat. Kalau ada bukti, dakwa, biar masuk mahkamah dan biar masuk penjara kalau salah,”katanya semasa berucap di Majlis Minum Petang Bersama PMX di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah.

Hadir sama pada majlis itu ialah calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Chennah, Anthony Loke.
Terdahulu, Jemaah Menteri bersetuju mengklasifikasikan semula dan mendedahkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH kepada umum.
Laporan tersebut juga akan dibentangkan serta dibahaskan dalam sidang khas Dewan Rakyat dalam masa terdekat.

Tindakan undang-undang kepada yang bersalah perlu dilaksanakan
Mengulas lanjut, Anwar berkata tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah perlu dilaksanakan mengikut lunas undang-undang negara.
“Ramai dah pergi haji dan pergi umrah. Wang haji dia ditipu. Saya tak mahu tuduh sesiapa. Biar PDRM, SPRM dan BNM siasat,”katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa berdasarkan taklimat yang diberikan oleh Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain kepada Jemaah Menteri, institusi itu menanggung kerugian sebanyak RM10 bilion.
“Dia bagi taklimat kepada Jemaah Menteri. Rugi RM10 bilion disebabkan tak ikut peraturan, pelaburan salah dan banyak masalah,” katanya.

Menurut Anwar, kerugian itu berpunca daripada kesalahan yang berlaku sejak 2014, selain Bank Negara Malaysia sebelum ini telah mengesan pelanggaran berkaitan pengurusan TH, namun perkara tersebut didakwa tidak diberi perhatian sehingga menyebabkan institusi berkenaan mengalami kerugian besar.




