am@hmetro.com.my
Shah Alam: Pengawal peribadi yang diugut, dicederakan serta dihina majikan kerana berpuasa pada 2021 bersyukur keputusan mahkamah kekal berpihak kepadanya dan rakan sekerja.
Ahmad Shamsuri Zailani, 32, berkata keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mengekalkan sabitan bersalah terhadap bekas majikannya itu membuktikan kebenaran akhirnya berpihak kepadanya dan rakan, Mohd Azminizam Zulkepli, 49, walaupun terpaksa melalui episod yang meninggalkan trauma sepanjang hayat.
“Alhamdulillah, hakim pun bagi keputusan memang kebenaran itu berlaku, kecederaan ada dan saya bersyukur dengan keputusan yang diperoleh hari ini.
“Jadi, saya nak ingatkan di luar sana yang berkerja dalam bidang ini, kita hanya mencari rezeki yang halal. Kalau terkena begini, jangan takut buat laporan. Memang mereka ada duit, tetapi kita ada Allah. Insya-Allah,” katanya ketika ditemui di lobi mahkamah di sini, hari ini.
Ahmad Shamsuri berkata, walaupun kejadian itu masih menghantuinya, dia tetap meneruskan kerjaya sebagai pengawal keselamatan kerana itulah sumber rezekinya.
“Saya kerja dengan mereka selama tiga tahun. Trauma itu masih ada dalam ingatan, tetapi saya kena kuatkan semangat dan teruskan hidup,” katanya.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang ahli perniagaan dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini yang menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman atas tiga pertuduhan mengugut, mencederakan serta menghina dua bekas pengawal peribadinya kerana berpuasa pada 2021.
Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Seri Shamsulbahri Ibrahim terhadap Chung Chee Yang, 48, dengan mengarahkan hukuman penjara bagi semua kesalahan berkenaan dijalankan secara serentak bermula hari ini.
Dalam penghakimannya, Shamsulbahri menyatakan kesalahan perayu adalah serius dengan mahkamah memberikan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada perayu dan mesej jelas kepada masyarakat bahawa mahkamah tidak berkompromi dengan kesalahan begini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




