Keputusan tangguh bayar ganti rugi RM37 juta kepada keluarga Raymond, Amri kekal

Keputusan tangguh bayar ganti rugi RM37 juta kepada keluarga Raymond, Amri kekal

Putrajaya: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi untuk menangguhkan pembayaran ganti rugi RM37 juta kepada keluarga paderi Raymond Koh dan RM3 juta kepada keluarga aktivis Amri Che Mat, yang dilaporkan hilang, sementara menunggu rayuan kerajaan.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Dr Alwi Abdul Wahab, Datuk Dr Shahnaz Sulaiman dan Datuk Amarjeet Singh membuat keputusan itu selepas sebulat suara menolak rayuan isteri Koh, Susanna Liew Sow Yoke, dan isteri Amri, Norhayati Ariffin.

Ketika menyampaikan penghakiman mahkamah, Alwi berkata hakim Mahkamah Tinggi telah menggunakan prinsip yang betul dalam membenarkan penangguhan itu dan Mahkamah Rayuan hanya akan campur tangan jika keputusan tersebut jelas salah.

“Keputusan Mahkamah Tinggi menunjukkan penggunaan budi bicara yang rasional untuk mengekalkan status quo sementara menunggu keputusan akhir berkaitan semua isu dalam rayuan substantif,” katanya.

Panel itu turut menolak hujah perayu bahawa pelantikan Amanah Raya Berhad sebagai pemegang amanah menghalang kerajaan daripada memohon penangguhan.

“Perintah persetujuan itu adalah langkah prosedur neutral untuk memuktamadkan perintah Mahkamah Tinggi dengan mengenal pasti pemegang amanah, iaitu Amanah Raya Berhad, dan ia sama sekali tidak bermaksud untuk menjadi satu aku janji mutlak untuk melepaskan hak statutori bagi memohon penangguhan atau sebagai pengakuan liabiliti.

“Penangguhan tidak mengganggu perintah persetujuan sebaliknya hanya menangguhkan penguatkuasaannya bagi memastikan proses rayuan tidak menjadi sia-sia,” katanya.

Mahkamah Rayuan juga berpandangan keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes Koh memerlukan pembayaran berterusan RM10,000 sehari, menjadikan pelaksanaan segera perintah itu tidak praktikal kerana melibatkan perbelanjaan berulang daripada dana awam.

Menyentuh mengenai penangguhan perintah yang memerlukan siasatan terhadap kehilangan Koh diteruskan, Alwi mengakui bahawa Mahkamah Tinggi tidak memberikan sebarang alasan.

Bagaimanapun, beliau berkata pertikaian itu tertumpu pada syarat-syarat yang mengawal cara siasatan harus dilakukan, yang juga sebahagian daripada rayuan substantif kerajaan.

“Jika penangguhan tidak dibenarkan, aspek rayuan ini akan menjadi tidak relevan.

“Kita perlu menekankan bahawa pada peringkat ini, mahkamah tidak memfokus kepada merit kes sebaliknya sama ada wujud keadaan khas… atas sebab-sebab ini, kami menolak rayuan dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi… tiada perintah berkaitan kos,” katanya.

Dalam kes Amri pula, beliau berkata penangguhan itu hanya melibatkan syarat-syarat yang mengawal siasatan polis yang sedang berjalan.

“Kami berpendapat jika permohonan untuk penangguhan ditolak, rayuan utama akan menjadi sia-sia. Secara keseluruhan, kami tidak nampak sebab untuk mencampuri hak budi bicara hakim Mahkamah Tinggi yang bijaksana.

“Perintah penangguhan itu tidak akan menjejaskan usaha plaintif untuk mendapatkan keadilan sebaliknya hanya menggantung sementara pelaksanaan penghakiman sementara menunggu proses rayuan… oleh itu, kami menolak rayuan ini dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi,” katanya.

Isteri Koh diwakili peguam Datuk Jerald Gomez and Steven Thiru manakala Norhayati diwakili peguam A. Surendra Ananth dan kerajaan diwakili Peguam Kanan Persekutuan Zetty Zurina Kamaruddin serta Zureen Elina Mohd Dom.

Pada 5 Nov tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Su Tiang Joo memutuskan bahawa polis dan kerajaan bertanggungjawab atas kehilangan Koh dan memerintahkan agar keluarganya dibayar ganti rugi sebanyak RM37 juta yang terdiri daripada bayaran sebanyak RM10,000 sehari dari 13 Feb 2017 hingga tarikh keberadaannya didedahkan, RM1 juta sebagai ganti rugi am dan RM1 juta sebagai ganti rugi teladan.

Mahkamah juga memerintahkan agar wang itu diletakkan dalam akaun amanah yang diuruskan oleh Amanah Raya Berhad sehingga nasib Koh diketahui.

Su turut memutuskan bahawa polis dan kerajaan bertanggungjawab atas kehilangan Amri dan memerintahkan agar keluarganya dibayar ganti rugi lebih RM3 juta.

Kerajaan kemudian memperoleh perintah bagi menangguhkan pembayaran ganti rugi itu pada 8 Jan lepas sementara menunggu rayuan selesai.

Koh dilaporkan telah diculik oleh sekumpulan lelaki bertopeng semasa memandu di Kelana Jaya pada 13 Febi 2017 manakala Amri hilang di Perlis pada 24 Nov 2016 selepas kenderaannya disekat oleh tiga kereta yang dinaiki lima lelaki.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top