Operasi rampas 1,447 peranti vape, lebih 260 liter cecair

Operasi rampas 1,447 peranti vape, lebih 260 liter cecair

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Polis Kelantan merampas 1,447 unit peranti vape dan 267.4 liter cecair vape dianggar bernilai RM96,475 menerusi Ops Vape yang berlangsung dua hari hingga semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, dalam operasi itu, seorang wanita ditahan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, operasi dilaksana di seluruh daerah dan turut membabitkan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Sebanyak 22 premis menjual vape telah diperiksa dan 1,447 unit peranti vape serta 267.4 liter cecair dirampas.

“Tindakan saman dan kompaun juga diambil di bawah bidang kuasa KKM dan PBT,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi itu memfokuskan kepada mengesan, memeriksa premis dan menangkap individu yang terbabit dalam aktiviti pengedaran serta penjualan vape yang mengandungi dadah.

Menurutnya, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Kelantan akan terus mempergiatkan risikan, pemantauan serta operasi bersepadu bersama agensi penguat kuasa berkaitan bagi membanteras aktiviti pengedaran vape yang mengandungi bahan terlarang.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang. Ibu bapa dan masyarakat diseru memainkan peranan penting dalam memantau tingkah laku anak serta tidak memandang ringan ancaman vape yang semakin menular,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top