SHAH ALAM – Bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mengalu-alukan pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji kepada umum sambil menyatakan ia membuktikan pelbagai tuduhan dan fitnah terhadapnya ketika menerajui kementerian itu adalah tidak benar.
Menurut Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu, beliau bersyukur kerana laporan berkenaan akhirnya dapat diakses orang ramai sekali gus menjelaskan keadaan sebenar berlaku ketika proses pemulihan dan penstrukturan semula Tabung Haji dilaksanakan sepanjang tempoh beliau menerajui kementerian itu dari 2018 hingga 2020.
Beliau berkata, antara tuduhan yang sering dilemparkan ketika itu ialah dakwaan kononnya beliau menggadaikan aset umat Islam kepada bukan Islam, namun laporan RCI membuktikan dakwaan tersebut adalah palsu dan tidak berasas.
“Mereka juga menuduh saya sebagai menteri yang mengeluarkan hibah terendah tanpa mengetahui bahawa sebelumnya pada zaman Barisan Nasional (BN), Tabung Haji mengalami kerugian yang besar kerana mengeluarkan hibah tidak patuh undang-undang demi kepentingan politik sebagaimana yang dilaporkan.
“Hasil dari pemulihan yang kami lakukan pembayaran hibah patuh undang-undang telah meningkat dari serendah 1.25 peratus semasa awal pemulihan kepada hari ini yang mencecah 3.5 peratus. Itu adalah hasil kejayaan semasa pemulihan 2018-2020 dilaksanakan,” katanya dalam satu hantaran Facebook pada Khamis.
ARTIKEL BERKAITAN: Laporan RCI TH setebal 211 halaman diterbitkan
RCI dedah pelantikan ahli politik dalam TH jejaskan kredibiliti institusi
RCI syor Akta Tabung Haji dipinda, kuasa menteri terlalu luas
Kuasa menteri tamatkan khidmat pimpinan TH tanpa sebab perlu dikaji semula
RCI Tabung Haji: Keputusan hibah, bantuan haji dipengaruhi unsur politik
Mujahid turut bersyukur apabila laporan RCI mengiktiraf Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Semula Tabung Haji yang dilancarkan pada 2018 sebagai langkah terbaik untuk menyelamatkan institusi itu daripada krisis kewangan melibatkan kerugian kira-kira RM10 bilion.
Menurutnya, laporan tersebut turut memperakui bahawa pendekatan subsidi haji secara bersasar yang pernah menerima kritikan hebat ketika itu sebenarnya diperlukan bagi memastikan kedudukan kewangan Tabung Haji kekal mampan.
“Saya telah diserang kerana pendekatan ini, walhal itulah yang direkomendasikan oleh Laporan RCI Tabung Haji untuk menyelamatkan kedudukan kewangan Tabung Haji yang kritikal,” ujarnya lagi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan pengurusan Tabung Haji ketika itu yang diketuai Pengerusi, Tan Sri Mohd Nor Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Zukri Samat dan seluruh pasukan yang menjayakan usaha penstrukturan semula institusi berkenaan.
Tambah Mujahid, laporan RCI turut mengesahkan beliau mewarisi Tabung Haji dalam keadaan defisit kira-kira RM10 bilion dan tanpa tindakan pemulihan, institusi itu berdepan masalah kewangan yang lebih besar sehingga boleh menjejaskan kebajikan jemaah haji.
“ALLAH jua yang mendengar rintihan dan doa mereka yang menjadi mangsa fitnah lalu membela hamba-Nya,” kongsinya lagi.



