PUTRAJAYA: Sistem e-Tanah akan diperluaskan ke Kedah mulai 1 Januari 2027 dalam usaha mewujudkan satu sistem pentadbiran tanah yang lebih seragam dan cekap di seluruh negara.
Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, Datuk Mohd. Fauzi Mohd. Yatim berkata, ketika ini sistem e-Tanah telah dilaksanakan di tujuh negeri dan terbukti membantu mempercepatkan urusan pentadbiran tanah serta merangsang pertumbuhan ekonomi negara.
Menurutnya, sistem bagi Kedah kini berada pada peringkat akhir pembangunan dan sedang melalui proses ujian sebelum beroperasi sepenuhnya pada awal tahun depan.
“Yang terawal akan dilaksanakan ialah Kedah. Sistemnya hampir siap dan kini dalam fasa ujian sebelum dilancarkan pada 1 Januari 2027,” katanya selepas Majlis Kemuncak Sambutan Hari Tanah Negara Ke-10 di sini, hari ini.
Beliau berkata, selain Kedah, pelaksanaan e-Tanah turut dirancang diperluaskan ke beberapa negeri lain yang masih dalam peringkat perbincangan dan rundingan.
Katanya, maklum balas daripada kerajaan negeri yang telah melaksanakan e-Tanah setakat ini amat positif kerana sistem itu berjaya mempercepatkan urusan tanah serta meningkatkan kutipan hasil negeri.
“Tujuh negeri yang telah melaksanakan sistem ini memberi maklum balas yang baik kerana ia menggantikan sistem lama dan menjadikan urusan tanah lebih pantas,” katanya.
Tambahnya, Melaka dan Negeri Sembilan sudah mendantangani perjanjian, manakala Perlis dan Kelantan kini dalam proses memuktamadkan perjanjian.
Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi Sabah dan Sarawak, perbincangan awal di peringkat pegawai telah diadakan bagi memperluaskan pelaksanaan sistem e-Tanah ke kedua-dua negeri itu.
Bagaimanapun, katanya, langkah seterusnya memerlukan persetujuan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam sebelum rundingan rasmi bersama kerajaan negeri dapat diteruskan. – UTUSAN




