am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) mendedahkan lima pegawai kanan institusi itu yang dikaitkan dengan beberapa kes salah laku serius termasuk lebih daripada satu kes, hanya dikenakan hukuman ringan seperti turun pangkat, amaran keras dan penangguhan kenaikan gaji selepas melalui proses rayuan tatatertib.
Menurut Laporan RCI Tabung Haji, tindakan tatatertib itu diambil terhadap lima pegawai pengurusan susulan perubahan kepimpinan TH selepas Julai 2018.
“Individu berkenaan ialah bekas Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Datuk Rozaida Omar; bekas Ketua Pegawai Operasi, Datuk Adi Azuan Abdul Ghani; bekas Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat dan Hartanah, Rifina Md Ariff; bekas Ketua Pegawai Sumber Manusia, Mohd Hisham Harun; serta bekas Penasihat Undang-Undang, Hazlina Mohd Khalid.
“Tindakan tatatertib itu membabitkan empat kluster kes iaitu penjualan saham dalam PT TH Indo Plantations, pelanggaran peruntukan Akta Syarikat 1965 berkaitan sumbangan RM22.12 juta kepada Yayasan Tabung Haji tanpa kelulusan awal menteri, isu pengisytiharan hibah bagi tahun kewangan berakhir 2017 serta pengemukaan tuntutan yang mengandungi butiran palsu,” menurut laporan itu.
Menerusi laporan itu juga, ia menunjukkan beberapa pegawai terbabit berdepan lebih daripada satu pertuduhan tatatertib.
“Rozaida dikaitkan dengan tiga kluster kes, manakala Mohd Hisham berdepan tindakan dalam dua kluster, manakala Hazlina pula dikenakan tindakan dalam dua kluster berasingan.
“Bagi isu penjualan saham PT TH Indo Plantations, Jawatankuasa Tatatertib pada April 2021 memutuskan hukuman buang kerja terhadap Rozaida, Rifina, Mohd Hisham dan Hazlina.
“Bagaimanapun, Jawatankuasa Rayuan Tatatertib pada September 2021 mengurangkan hukuman itu kepada turun pangkat,” menurut laporan itu.
Sementara itu, dalam kes membabitkan sumbangan RM22.12 juta kepada Yayasan Tabung Haji, tiga pegawai iaitu Rozaida, Adi Azuan dan Mohd Hisham pada asalnya dikenakan hukuman turun pangkat, tetapi selepas rayuan, hukuman terhadap Rozaida dan Adi Azuan dikurangkan kepada amaran keras, manakala Mohd Hisham hanya dikenakan amaran serta penangguhan kenaikan gaji.
“Bagi isu pengisytiharan hibah 2017 pula, Rozaida pada awalnya dikenakan hukuman buang kerja sebelum dikurangkan kepada turun pangkat selepas rayuan.
“Manakala Hazlina yang berdepan kes berasingan membabitkan tuntutan mengandungi butiran palsu pula kekal dikenakan hukuman turun pangkat selepas rayuannya ditolak,” menurut laporan itu.
RCI turut mendedahkan, semua lima pegawai berkenaan masih kekal berkhidmat dalam kumpulan TH sehingga kini, sama ada di ibu pejabat atau anak syarikat, meskipun pernah dikenakan tindakan tatatertib.
“Bukan setakat itu saja, berdasarkan perkara-perkara yang dinyatakan di atas, suruhanjaya mendapati proses tindakan tatertib yang diambil oleh pihak LTH mengambil masa yang terlalu lama.
“Terdapat kes yang mengambil masa sehingga 19 bulan daripada tarikh representasi dikemukakan sebelum Jawatankuasa Tatatertib membuat keputusan, selain kes lain yang mengambil masa 15 bulan dan 10 bulan.
“Sehubungan itu, RCI berpandangan proses penyempurnaan tindakan tatatertib di TH, termasuk tempoh penahanan kerja perlu diperkemaskan dan disegerakan supaya ia dilihat lebih berkesan, cekap, adil serta telus,” menurut laporan itu.
Dalam pada itu, RCI turut mendedahkan beberapa hasil siasatan dalaman LTH membawa kepada laporan rasmi yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan pelbagai dakwaan salah laku dan penyelewengan.
Menurut laporan itu, antara perkara yang dirujuk kepada SPRM ialah dakwaan rasuah dalam pembelian Ladang Weida Bhd oleh TH Plantation, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam penyewaan Restoran Opah di KL Sentral serta Restoran Nasi Dalca di bangunan ibu pejabat LTH.
© New Straits Times Press (M) Bhd




