SHAH ALAM – Usaha pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) melaksanakan kira-kira 75 peratus daripada syor yang dikemukakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mencerminkan komitmen institusi itu memperkukuhkan tadbir urus dan memulihkan keyakinan pendeposit.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, usaha pemulihan yang sedang dilaksanakan pengurusan dan warga TH wajar diberikan penghargaan.
“Alhamdulillah, tirai RCI telah dibuka, selain belajar daripada sejarah dan luka semalam, jangan terlupa menghargai tangan yang tekun menyembuhkannya.
“Membina lebih sukar daripada mengkritik. Memulihkan lebih berat daripada menghukum.
“Tahniah dan terima kasih saya ucapkan buat Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Abdul Rashid Hussain, Ahli Lembaga Pengarah, pengurusan serta seluruh warga TH, kerana atas ikhtiar gigih melaksanakan 75 peratus daripada cadangan RCI,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
ARTIKEL BERKAITAN: ‘RCI Tabung Haji buktikan fitnah saya gadai aset umat Islam tidak benar’ – Mujahid
‘RCI hanya tunjuk tindakan dalaman pegawai TH, jadi siapa ahli politik UMNO ‘sakau?’ – Akmal Saleh
Penerbitan laporan penuh RCI Tabung Haji perkukuh ketelusan, amanah tadbir urus institusi – IKIM
RCI: RM88 bilion perlu diaktifkan jika TH gagal pelan pemulihan
Laporan RCI TH setebal 211 halaman diterbitkan
RCI dedah pelantikan ahli politik dalam TH jejaskan kredibiliti institusi
RCI syor Akta Tabung Haji dipinda, kuasa menteri terlalu luas
Kuasa menteri tamatkan khidmat pimpinan TH tanpa sebab perlu dikaji semula
RCI Tabung Haji: Keputusan hibah, bantuan haji dipengaruhi unsur politik
Hibah tinggi 2014 hingga 2017 lampaui kemampuan kewangan LTH
RCI Tabung Haji: Amalan bonus terlalu tinggi perlu dihentikan
RCI Tabung Haji: Panel Pelaburan TH perlu diperuntukkan semula dalam Akta 535
RCI Tabung Haji: Krisis berpunca daripada kelemahan tadbir urus, bukan salah guna kuasa
RCI Tabung Haji: Ahli politik aktif tidak wajar terajui TH
Terdahulu, TH dalam kenyataan memaklumkan pihaknya dalam proses melaksanakan 25 syor penambahbaikan RCI dengan 75 peratus daripadanya berjaya diselesaikan bagi meningkatkan tadbir urus dan kesejahteraan institusi itu.
Mohd Na’im berkata, kredibiliti Abdul Rashid sebagai pengasas Kumpulan RHB dilihat memberi nilai tambah kepada usaha pelaksanaan pembaharuan yang sedang digerakkan oleh TH.
“Abdul Rashid juga merupakan salah seorang ahli Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang dilantik bagi mengkaji isu-isu pengurusan dan pentadbiran Lembaga Tabung Haji.
“Justeru, tatkala mata tertumpu pada kesilapan yang lalu, beliau serta pengurusan TH menumpukan masa dan tenaga melaksanakan dengan kesungguhan, keberanian melakukan pembaharuan, dan komitmen mengembalikan keyakinan umat,” katanya.
Beliau turut mengharapkan segala usaha yang dilaksanakan akan terus dipermudah dan diberkati supaya TH kekal teguh sebagai institusi kebanggaan umat Islam di negara ini.
“Wira yang sebenar sering kali ialah mereka yang paling setia memikul amanah,” katanya lagi.



