lizamridzuan@hmetro.com.my
Petaling Jaya: BYD Sime Motors memperkenalkan BYD SEALION 7 versi 2026 yang kini ditawarkan dalam tiga varian iaitu Dynamic, Premium dan Performance untuk memperluaskan pilihan kepada pengguna yang mahu memiliki SUV elektrik (EV).
Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma, berkata pengenalan varian Dynamic bersama penambahbaikan pada varian Premium dan Performance menawarkan lebih banyak pilihan kepada pelanggan mengikut keperluan serta gaya hidup masing-masing, selain memberikan jarak pemanduan lebih jauh, keupayaan pengecasan lebih pantas dan nilai pemilikan yang lebih baik.
“Model ini membina reputasi sebagai SUV elektrik yang diterima baik pelanggan di Malaysia menerusi gabungan prestasi, teknologi, praktikaliti dan reka bentuknya serta pengenalan ini menjadikan model itu lebih lengkap serta menyokong usaha mempercepatkan peralihan kepada mobiliti elektrik di negara ini,” katanya pada majlis pelancaran model itu, hari ini.
Sejak diperkenalkan pada 2024, model ini muncul sebagai SUV elektrik segmen-D paling laris di Malaysia pada 2025 dengan lebih 6,300 unit diserahkan kepada pelanggan di seluruh negara, sekali gus mengukuhkan kedudukan jenama itu dalam pasaran EV tempatan.
Varian Premium kini menerima peningkatan kapasiti bateri Blade Battery kepada 91.39 kWh berbanding 82.56 kWh sebelum ini, sekali gus meningkatkan jarak pemanduan daripada 567 kilometer kepada 650 kilometer (NEDC).
Keupayaan pengecasan pantas DC turut dinaik taraf daripada 150 kW kepada 230 kW bagi mengurangkan masa pengecasan.
Bagi varian Performance, ia mengekalkan sistem pacuan semua roda (AWD) yang menghasilkan kuasa maksimum 390 kW dan tork 690 Nm, membolehkan pecutan 0 hingga 100 km/j dicapai dalam hanya 4.5 saat.
Model itu turut menggunakan bateri 91.39 kWh serta menyokong pengecasan pantas DC 230 kW dengan jarak pemanduan sehingga 600 kilometer (NEDC).
Sementara itu, varian Dynamic menggunakan konfigurasi pacuan roda belakang (RWD) dengan kuasa maksimum 170 kW dan tork 380 Nm, menawarkan jarak pemanduan sehingga 520 kilometer (NEDC) serta pecutan 0 hingga 100 km/j dalam 7.3 saat.
Kesemua varian dibangunkan berasaskan platform e-Platform 3.0 BYD dan didatangkan dengan bateri Blade, sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) serta pelbagai ciri sambungan pintar sebagai kelengkapan standard.
Varian Dynamic ditawarkan pada harga RM163,800, dengan 300 pelanggan pertama menikmati harga promosi RM159,800 selepas penjimatan RM4,000. Premium pula dijual pada harga RM188,800, manakala Performance berharga RM203,800.
© New Straits Times Press (M) Bhd




