Putrajaya: Mahkamah Persekutuan hari ini, dalam keputusan majoriti 2-1, membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menangguhkan pendengaran permohonannya bagi mendapatkan kebenaran meneruskan semula saman sivil berjumlah RM1.9 juta terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas, selepas dimaklumkan bekas perdana menteri itu sedang menjalani proses pemulihan susulan prosedur rawatan jantung.
Keputusan majoriti itu dibuat panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Datuk Seri Abu Bakar Jais dan Datuk Azmi Ariffin manakala Datuk Azimah Omar mengemukakan penghakiman berbeza.
Ketika menyampaikan keputusan majoriti, Hakim Abu Bakar berkata beliau cenderung membenarkan permohonan penangguhan itu kerana Najib merupakan pihak dalam saman berkenaan serta ingin hadir dan mengambil bahagian dalam prosiding tersebut.
“Najib tidak sihat dan dalam keadaan ini, saya membenarkan permohonan ini,” katanya.
Sementara itu, Hakim Azmi yang bersetuju dengan keputusan majoriti mengingatkan semua pihak bahawa penangguhan tersebut adalah terakhir diberikan dalam kes itu, dan menegaskan pendengaran permohonan kebenaran akan diteruskan pada tarikh ditetapkan selepas ini tanpa mengira sama ada Najib dapat hadir atau sebaliknya.
Dalam penghakiman berbeza, Hakim Azimah memutuskan pendengaran perlu diteruskan kerana permohonan itu melibatkan persoalan undang-undang, bukannya fakta, yang tidak memerlukan kehadiran Najib.
“Permohonan penangguhan ini hanya dibuat pada saat akhir. Jika pemohon benar-benar serius untuk hadir dan telah diberikan cuti sakit pada 24 Julai, permohonan ini sepatutnya difailkan pada hari yang sama.
“Sekiranya kami dimaklumkan lebih awal pemohon berhasrat memohon penangguhan, ia sudah tentu dapat menjimatkan masa. Hakim mendengar kes setiap hari. Kami meluangkan tiga hingga empat jam meneliti fail-fail anda. Ini bukan penggunaan masa yang cekap. Oleh itu permohonan penangguhan ini sepatutnya ditolak,” katanya.
Terdahulu, peguam Najib, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, memohon penangguhan dengan alasan anak guamnya masih dalam proses pemulihan selepas menjalani prosedur rawatan jantung dan tidak dapat menghadiri prosiding tersebut.
Bagaimanapun, peguam Allan Adrian Gomez yang mewakili Thomas membantah permohonan itu dengan berhujah bahawa pendengaran wajar diteruskan kerana tidak memerlukan kehadiran Najib.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu memfailkan saman berkenaan pada 22 Okt 2021 dengan mendakwa Thomas menyalahgunakan kuasa ketika mendakwanya berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menerusi saman itu, Najib mendakwa Thomas bertindak dengan niat jahat ketika memfailkan pertuduhan terhadapnya berhubung kes 1MDB dan International Petroleum Investment Company (IPIC). Thomas berkhidmat sebagai Peguam Negara dari 4 Jun 2018 hingga 28 Feb 2020.
Pada 25 Nov 2022, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Thomas untuk membatalkan saman Najib tanpa melalui perbicaraan penuh.
Pada Januari lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi untuk membatalkan saman itu dengan memutuskan bahawa tindakan berkenaan jelas terlalu awal (pramatang) kerana kes jenayah tersebut masih belum bermula ketika saman itu difailkan.
Susulan itu, Najib memfailkan notis usul pada 10 Feb bagi mencabar keputusan Mahkamah Rayuan, dan dalam permohonan itu, beliau membangkitkan tiga persoalan undang-undang untuk diputuskan Mahkamah Persekutuan serta memohon kebenaran untuk memfailkan notis rayuan dalam tempoh sebulan sekiranya kebenaran merayu diberikan.
Pada Mac berikutnya, Najib memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan kebenaran untuk merayu dalam usaha meneruskan semula saman sivilnya terhadap Thomas. Mengikut undang-undang, pihak-pihak dalam kes sivil perlu terlebih dahulu memperoleh kebenaran sebelum boleh meneruskan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




