Kes bayi ditikam: Suspek mengaku beri RM450 untuk gugurkan kandungan

Kes bayi ditikam: Suspek mengaku beri RM450 untuk gugurkan kandungan

am@hmetro.com.my

Kluang: Teman lelaki pelajar kolej yang dipercayai membunuh bayi perempuan baru dilahirkan sebelum ditemukan dalam mangkuk tandas di sebuah rumah sewa di Taman Setia Mutiara, Kluang semalam memberikan RM450 kepada wanita terbabit supaya menggugurkan kandungannya.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, pengakuan itu dibuat oleh suspek berusia 19 tahun selepas dia ditahan susulan laporan penemuan mayat bayi perempuan baru dilahirkan dalam rumah terbabit.

“Berdasarkan hasil soal siasat, suspek mengaku memberikan wang RM450 kepada teman wanitanya supaya menggugurkan kandungan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ab Rahaman berkata, suspek ditahan pada jam 10.30 malam, 18 Julai lalu bagi membantu siasatan.

Katanya, semakan mendapati suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing didapati negatif dadah.

“Polis turut merampas sebilah pisau berukuran 24 sentimeter panjang dan pakaian yang mempunyai kesan darah.

“Kejadian ini terbongkar apabila pelajar perempuan yang juga ibu kandung pada bayi terbabit dibawa ke hospital oleh guru bertugas kerana tidak sihat.

“Semasa pemeriksaan kesihatan dijalankan, pelajar terbabit baru sahaja melahirkan bayi dan terdapat seorang lagi bayi dalam kandungannya,” katanya.

Katanya, pelajar terbabit masih lagi dirawat di hospital sebaik melahirkan seorang lagi bayi perempuan.

“Hasil bedah siasat dijalankan pakar patologi mendapati, punca kematian bayi terbabit disebabkan luka tikaman berganda pada bahagian dada,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top