'Tiga kali saya redah asap tebal, tapi tak nampak apa-apa kecuali tangisan anak'

'Tiga kali saya redah asap tebal, tapi tak nampak apa-apa kecuali tangisan anak'

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: “Saya tidak nampak apa-apa melainkan dengar tangisan anak bongsu ketika itu, saya nekad mencarinya dalam asap tebal walaupun dua kali gagal.

“Alhamdulillah akhirnya saya berjaya menyelamatkannya,” kata mangsa kebakaran, Muhamad Azuan Hassan, 34.

Berkongsi detik mencemaskan itu, Muhamad Azuan berkata, dia sekeluarga termasuk isteri beserta tiga anak terperangkap dalam bilik tidur selepas rumah sewanya terbakar di Jalan Bayan, Taman Kota Puteri, Masai di sini, kelmarin.

Menurutnya, dalam kejadian jam 4 awal itu, mereka sedang tidur nyenyak di tingkat dua rumah teres itu sebelum anak kedua lelaki berusia lima tahun mengejutkan isterinya selepas terhidu asap.

Katanya, pada awalnya keluarganya gagal menyelamatkan diri kerana kesemua ruangan rumah itu dipenuhi asap tebal.

“Dalam sekelip mata asap semakin menebal, penglihatan kabur dan kami hampir sesak nafas.

“Saya memeluk mereka semua dan minta reda sekiranya ada sesuatu yang berlaku kerana buntu cara menyelamatkan diri.

“Isteri kemudian meminta saya untuk mencari tingkap di bilik sebelum dia berjaya memecah tingkap berkenaan.

“Kami bergerak keluar dari tingkap bilik tidur ke bumbung awning sebelum memasuki rumah jiran,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia cemas apabila tidak menemukan anak bongsu lelaki berusia tiga tahun, bernama Aziz yang masih terperangkap dalam bilik berkenaan.

“Dua kali saya redah asap tebal dan bahang ketika memasuki bilik itu namun tidak dapat menemukan Aziz.

“Keadaan semakin buruk, saya meminta bantuan jiran namun mereka juga tidak mampu membantu kerana amat berisiko.

“Saya nekad memasuki semula bilik tidur itu dan mendengar tangisan Aziz, saya terus mencarinya dan Alhamdulillah dapat menyelamatkan,” katanya.

Muhamad Azuan berkata, akibat kejadian itu dia dan ahli keluarganya terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) selama sehari.

Menurutnya, doktor juga memantau paru-paru anak bongsunya kerana terdedah kepada asap tebal.

“Buat masa ini Aziz masih trauma dipercayai kerana terperangkap kira-kira 15 minit dalam bilik itu.

“Kami menumpang sementara di kediaman kakak serta dijangka berpindah ke rumah transit di Pasir Gudang sementara usaha membaikpulih rumah yang terbakar.

“Kami difahamkan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Keluarga berkenaan turut menerima kunjungan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Chan San San di HSI, yang berjanji membantu keluarga berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top