am@hmetro.com.my
Pasir Mas: Dua rumah hangus dalam kebakaran di Chabang Tiga Bagus, Rantau Panjang, di sini, petang tadi.
Kejadian berlaku jam 6.30 petang tadi dan disedari penduduk, Hairul Shariel Abdullah, 24, apabila melalui kawasan itu ketika pulang dari tempat kerja.
Menurutnya, dia ternampak sebuah motosikal jenis Yamaha Ego yang diparkir di hadapan rumah sedang terbakar di bahagian tempat duduk.
“Memandangkan keadaan jalan yang sempit, saya perlu mencari tempat sesuai untuk parkir kereta sebelum bergegas ke rumah terbabit.
“Sebaik tiba, saya lihat api sudah merebak ke bahagian hadapan rumah dan tidak berani untuk cuba memadamkannya, tambahan pula keadaan agak panik.
“Saya segera menghubungi bomba dan berasa agak lega kerana dimaklumkan tiada penghuni dalam dua rumah terbabit ketika itu,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau Panjang, Hamzah Musa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.40 petang.
Beliau berkata, seramai 21 pegawai dan anggota termasuk dari BBP Pasir Mas dan Tunjong bergegas ke lokasi.
“Kebakaran membabitkan dua unit rumah jenis separuh kekal dengan kemusnahan 80 peratus serta 30 peratus.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




