Rakyat boleh tegur kerajaan secara berhemah, bukan menghina

Rakyat boleh tegur kerajaan secara berhemah, bukan menghina

Orang ramai boleh membuat terguran terhadap pentadbiran kerajaan sekiranya terdapat kelemahan namun ia perlu disampaikan secara berhemah dan bukannya dengan penghinaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap teguran yang membina penting bagi membolehkan kerajaan memperbaiki kelemahan serta terus meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat.

“Jadi tegurlah saya, nasihatlah saya, tetapi jangan hina, saya enggan mengatakan kami tidak berbuat apa-apa. Umur saya sudah lanjut dan saya bersyukur kerana masih sihat serta diberi ruang untuk berkhidmat sedaya upaya.

“Kalau ada kelemahan yang semestinya ada, berilah teguran. Tetapi berilah kesempatan dan ruang kepada kami untuk membetulkan kecuaian serta kelemahan selain terus mengangkat martabat orang Melayu yang memerlukan pembelaan dan memartabatkan Islam melalui amal serta tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kuala Pilah Berselawat dan Munajat Perdana Negeri Sembilan di Dataran Melang, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan sentiasa berusaha mengurangkan beban kos sara hidup rakyat meskipun terpaksa menanggung subsidi yang tinggi setiap tahun.

Katanya, kerajaan membelanjakan antara RM40 bilion hingga RM45 bilion setahun bagi menampung subsidi bahan api RON 95 supaya rakyat tidak terbeban.

“Harga minyak di Malaysia RM1.99 seliter. Kerajaan melalui Kementerian Kewangan perlu membayar antara RM40 bilion hingga RM45 bilion setiap tahun.

“Jadi setiap kali isi minyak, ingat bahawa kerajaan terpaksa menanggung subsidi supaya rakyat tidak terbeban. Kos barang import masih tinggi, kos sara hidup juga tinggi. Apa yang kami mampu, kami bantu,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan turut meningkatkan peruntukan program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM16 bilion selain melaksanakan kenaikan gaji penjawat awam yang disifatkan sebagai tertinggi dalam sejarah negara.

“Kami tambah STR dan SARA sehingga RM16 bilion. Kami juga naikkan gaji penjawat awam. Selama 12 tahun gaji polis dan penjawat awam tidak dinaikkan.Jadi saya naikkan gaji yang tertinggi dalam sejarah, dengan kos mencecah RM18 bilion tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menggesa rakyat Negeri Sembilan terus memberikan sokongan kepada kerajaan sedia ada dengan memilih calon yang berintegriti dan berkhidmat untuk rakyat.

“Saya mohon kerjasama kawan-kawan, selamatkanlah negeri ini, selamatkanlah negara ini. Pilih bukan kerana sentimen atau kebencian tetapi demi kesejahteraan bersama.

“Kalau ada pemimpin yang akhlaknya baik, rajin bekerja, tidak mencuri dan tidak menyalahgunakan kuasa, jagalah mereka.

“Sebab itu saya datang membantu Datuk Seri Aminuddin Harun kerana saya tahu rekod beliau. Tiada rekod balak hilang, kontrak hilang atau mengambil duit untuk dihantar ke luar negara,” katanya.-UTUSAN.

Scroll to Top