am@hmetro.com.my
Kuala Pilah: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meminta orang ramai untuk menegur dan menasihatinya sekiranya beliau membuat sebarang kesalahan.
Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, mereka tidak seharusnya menghina beliau hingga menyatakan kerajaan MADANI pimpinannya tidak berbuat apa-apa sepanjang pentadbiran.
“Tegurlah saya, nasihatlah saya, tapi jangan hina sehingga mengatakan kita tidak buat apa-apa.
“Umur saya sudah lanjut, tua dan saya bersyukur alhamdulillah kerana masih sihat dan diberi ruang untuk berkhidmat sedaya upaya.
“Kalau ada kelemahan yang semestinya ada, berilah teguran,” katanya semasa berucap pada Program Kuala Pilah Berselawat dan Munajat Perdana Negeri Sembilan di Dataran Melang, malam ini.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) turut meminta pihaknya diberi kesempatan serta ruang untuk membetulkan kecuaian dan kelemahan lalu.
Selain itu, beliau turut meminta pihaknya diberi ruang untuk memperbaikinya terutama dalam mengangkat martabat orang Melayu yang memerlukan pembelaan dan Islam yang mesti dimartabatkan melalui amal dan tindakan.
Dalam masa sama, Anwar semasa ucapannya menyatakan kerajaan juga sedaya upaya untuk mengurangkan beban ditanggung oleh rakyat susulan keadaan ekonomi sekarang.
Menteri Kewangan itu mengambil contoh, harga minyak RON95 yang diturunkan sehingga RM1.99 seliter, walaupun kerajaan terpaksa menanggung subsidi sehingga RM40 bilion setahun.
“Jadi, tiap kali isi minyak ingat, bahawa kerajaan terpaksa tampung, tak mahu bebankan rakyat…kos barang import tinggi (dan) kos sara hidup tinggi.
“Sedaya upaya saya, kerajaan kita turunkan dan kurangkan beban dalam keadaan sekarang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




