PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang berlangsung esok masih terbuka apabila dianggarkan antara 12 hingga 18 peratus pengundi masih belum membuat keputusan, sekali gus menjadikan kumpulan atas pagar sebagai penentu pembentukan kerajaan negeri.
Pusat Penyelidikan Insititut Darul Ehsan (IDERC) dalam kajian terbaharunya turut berpandangan belum ada mana-mana parti mempunyai laluan mudah untuk menguasai 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan persaingan dijangka kekal sengit sehingga hari pengundian.
Menurut kajian itu, walaupun 63.4 peratus responden telah membuat keputusan mengenai parti yang akan dipilih, sekurang-kurangnya 33.8 peratus merupakan kumpulan yang membuat keputusan lewat, termasuk 14.8 peratus yang hanya memuktamadkan pilihan pada hari pengundian.
“Dapatan ini menunjukkan kempen belum benar-benar berakhir kerana kumpulan pengundi atas pagar serta mereka yang membuat keputusan pada saat akhir masih boleh dipengaruhi oleh kredibiliti calon, isu setempat, kos sara hidup, prestasi kerajaan dan perkembangan kempen di penghujung saingan,” katanya pada Jumaat.
Kajian berkenaan turut menjangkakan kadar keluar mengundi berada pada sekitar 68 hingga 70 peratus berdasarkan 62.3 peratus responden yang menyatakan mereka pasti akan mengundi dan 24 peratus lagi berkemungkinan besar akan berbuat demikian.

IDERC dalam kajian terbaharunya berpandangan belum ada mana-mana parti mempunyai laluan mudah untuk menguasai 36 kerusi DUN.
Bagaimanapun, IDERC mengingatkan kadar keluar mengundi sebenar masih bergantung kepada faktor seperti mobilisasi jentera parti, cuaca, kemudahan pengangkutan serta perkembangan pada saat akhir sebelum pusat pengundian dibuka.
Kajian itu juga mendapati pengundi Melayu menunjukkan komitmen keluar mengundi paling tinggi iaitu 66.7 peratus, berbanding pengundi Cina sebanyak 56.1 peratus dan India 56.6 peratus, keadaan yang boleh memberi kesan kepada keputusan di kerusi bandar, separa bandar dan kawasan campuran.
“Perbezaan ini berpotensi memberikan kesan besar di kawasan campuran. Parti yang bergantung kepada sokongan pengundi bukan Melayu perlu memastikan penyokong mereka benar-benar hadir, khususnya di kerusi bandar dan separa bandar yang mempunyai persaingan rapat,” jelas IDERC.
Selain itu, pengundi muda berusia 18 hingga 30 tahun dikenal pasti sebagai kumpulan paling mencabar untuk dimobilisasi apabila hanya 51.8 peratus menyatakan mereka pasti akan keluar mengundi, jauh lebih rendah berbanding kumpulan umur 31 hingga 60 tahun dan 61 tahun ke atas.
Dalam pada itu, pusat penyelidikan berkenaan berpandangan keputusan pilihan raya tidak boleh diukur berdasarkan sokongan popular semata-mata kerana taburan pengundi, kekuatan calon, isu tempatan dan kadar keluar mengundi di setiap DUN mampu menghasilkan keputusan yang berbeza.
Malah, sebanyak lapan kerusi marginal dijangka menjadi medan penentu kepada pembentukan kerajaan negeri kerana perubahan kecil dalam kadar keluar mengundi atau peralihan beberapa ratus undi di kerusi berkenaan mampu mengubah keseimbangan kuasa.
Kajian Persepsi Pengundi Negeri Sembilan Menjelang Pilihan Raya DUN Ke-16 itu dijalankan oleh IDERC melibatkan 1,225 pengundi di kesemua 36 kawasan DUN menerusi kajian lapangan secara bersemuka dari 16 hingga 19 Julai lalu, dengan pemantauan susulan dilakukan sehingga 30 Julai. Kajian berkenaan mempunyai margin ralat sekitar 2.8 peratus pada tahap keyakinan 95 peratus.



