am@hmetro.com.my
Ipoh: Keluarga kepada dua remaja perempuan yang ditemukan mati di perumahan kosong Flat Sungai Pari, Buntong di sini minggu lalu mahu mengambil tindakan perundangan kerana berpandangan terdapat unsur kecuaian dalam tragedi itu.
Bapa kepada dua remaja berkenaan, T Thayaalaraj, 37, dan A Sasidran, 37, berkata kecuaian berlaku apabila kawasan rumah pangsa 15 tingkat itu tidak dipagar selain seakan-akan projek terbengkalai hingga orang ramai termasuk kanak-kanak bebas memasuki kawasan itu.
Thayaalaraj adalah bapa kepada T Kirthishaa, 14 manakala Sasidran bapa kepada S Rajena, 14, di mana yang ditemukan maut dipercayai akibat jatuh di kawasan bangunan perumahan kosong Flat Sungai Pari pada 24 Julai lalu.
Thayaalaraj dan Sasidran yang membuat laporan polis di Balai Polis Buntong, di sini hari ini berkata, mereka difahamkan bahawa kawasan rumah pangsa yang sudah dikosongkan sejak 13 tahun lalu itu berada dalam bidang kuasa Kerajaan Negeri dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
“Saya sangat kecewa apabila semua pihak yang sepatutnya bertanggungjawab seolah-olah tidak mengambil sebarang tindakan susulan. Tujuan kami membuat laporan adalah bagi memastikan insiden sebegini tidak berulang lagi selain untuk pihak bertanggungjawab mengambil tindakan sewajarnya demi keselamatan.
“Kami juga ingin membawa perkara ini ke mahkamah untuk tindakan selanjutnya, bahkan peguam juga sudah kami lantik untuk tujuan ini,” kata mereka kepada pemberita sewaktu mengadakan perhimpunan aman yang disertai kira-kira 20 ahli keluarga di hadapan Balai Polis Buntong, di sini hari ini.
Menurut mereka, pihak keluarga tidak mahu mengulas mengenai siasatan kes kematian Kirthishaa dan Rajena yang diserahkan sepenuhnya kepada polis.
Selain pemasangan pagar di flat terbiar itu, pihak keluarga juga menuntut supaya polis mengadakan rondaan dengan lebih kerap di kawasan itu selain menambah bilangan pengawal keselamatan yang menjaga kawasan itu.
“Minta diletakkan pengawal di situ supaya keseluruhan kawasan dan bangunan itu diawasi kerap dengan kerap sehingga ia dirobohkan. Ada 12 blok bangunan di situ, hanya seorang sahaja.
“Jika kerja-kerja perobohan itu mengambil masa yang lama, minta MBI segera memagar keseluruhan kawasan itu memandangkan tapak kawasan itu milik kerajaan negeri,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan pengawal keselamatan, R Madhesh, 22, mengakui melihat dua remaja perempuan yang ditemukan mati di kawasan perumahan kosong Flat Sungai Pari, dicari oleh ahli keluarga mereka di lokasi itu beberapa jam sebelum dijumpai maut.
Media turut melaporkan Flat Sungai Pari setinggi 15 tingkat yang terbiar sekian lama akan dirobohkan sebagai sebahagian daripada pelan pembangunan semula kawasan itu, dengan lantikan pemaju sudah dibuat serta pelaksanaan projek termasuk kerja merobohkan bangunan sedia ada akan ditentukan oleh pihak berkenaan.
Flat Sungai Pari yang dikenali dengan panggilan ‘Sungai Pari Tower’ atau ‘Tingkat 15’ itu pernah menjadi bangunan tertinggi dan simbol ikonik bandar Ipoh, di mana projek perumahan awam yang dibina pada 1963 itu sudah dikosongkan secara berperingkat sejak 2012 berikutan kebimbangan terhadap struktur bangunan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




